Singapura bakal anjur penerbangan lintas hormat, pameran kapal laut

Foto Singapore Ministry of Defence
Foto Singapore Ministry of Defence
A
A
A

SINGAPURA - Anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini dengan mengadakan acara penerbangan lintas hormat dan pameran kapal tentera laut, di Singapura pada 18 Oktober selepas berakhirnya sesi ‘Exercise Bersama Gold 2021’.

Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura, kedua-dua acara itu akan diadakan di perairan Marina South yang bakal menampilkan aset daripada semua lima negara anggota FPDA - Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom (UK).

Penerbangan lintas hormat akan dilakukan dalam tiga profil dikenali formasi delta yang diketuai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan gabungan FPDA membabitkan pesawat tempur dan peronda maritim serta helikopter dari lima negara berkenaan.

Acara itu turut akan menampilkan pesawat F-16 dan F-15SG milik RSAF, menurut kementerian itu.

Sementara itu, pameran kapal tentera laut pula membabitkan HMAS Canberra Australia, KD Lekiu Malaysia, HMNZS Aotearoa New Zealand, RSS Steadfast Singapura dan HMS Diamond UK.

Kedua-dua acara akan disiarkan secara langsung di platform media sosial Mindef Singapura pada 12 tengah hari, 18 Oktober. - Bernama

Artikel Berkaitan: