X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit teruskan aliran kenaikannya apabila ditutup kukuh berbanding dolar AS pada Khamis. - Foto 123RF
A
A

RINGGIT meneruskan aliran kenaikannya apabila ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, di tengah-tengah perkembangan peningkatan harga komoditi serta sentimen mengambil risiko dalam pasaran ekuiti, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.1525/1560 berbanding dolar AS daripada 4.1590/1610 pada akhir urus niaga Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mencatat peningkatan lebih ketara hari ini yang menyaksikannya susut ke paras serendah RM4.15 namun meningkat kepada RM4.157.

“Dolar AS juga terus susut berbanding mata wang utama berikutan laporan media mengenai kadar inflasi lebih tinggi di negara maju itu selain minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang menunjukkan keputusan berhubung pengurangan pembelian akan dibuat pada November depan.

"Selain itu, ringgit turut disokong oleh minat asing terhadap pasaran ekuiti Malaysia yang terus mencatat rekod pembelian sejak beberapa hari lepas. Atau ringkasnya, sentimen mengambil risiko itu sememangnya ketara pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Hong Leong Research menerusi nota penyelidikannya berkata sentimen optimis terhadap pembukaan semula ekonomi dan perkembangan aliran peningkatan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah adalah antara faktor yang terus mendorong kenaikan ringgit.

“Penyusutan berterusan semalaman dolar AS juga hanya mengukuhkan lagi sentimen positif terhadap ringgit yang boleh membuka ruang untuk ke paras 4.1535 minggu depan sebelum mencecah 4.1500,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lainnya.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6985/7033 daripada 5.6675/6702 pada akhir Rabu dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0807/0835 berbanding 3.0739/0758, semalam.

Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.8215/8255 daripada 4.8074/8097 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6638/6672 daripada 3.6611/6632, sebelum ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!