Badan peguam mohon jadi 'amicus curiae' kes cukai Najib, Nazifuddin

Najib - Foto fail Bernama
Najib - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Badan Peguam Malaysia memohon untuk menjadi 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan surat bertarikh 13 Oktober yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam Malaysia memohon mahkamah membenarkan lapan peguamnya diterima masuk sebagai 'amicus curiae' bagi mendengar rayuan itu.

Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu perintah Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai itu.

Badan Peguam Malaysia antara lain menyatakan bahawa kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai 'amicus curiae' untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya telah menerima surat itu menerusi e-mel pada Khamis.

Beliau berkata, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 29 Oktober ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Rasidah Roslee.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan

Artikel Berkaitan:

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia, turut memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. - Bernama