Kerajaan Sarawak peruntuk RM78.5 juta bantu PKS, perusahaan mikro

Abang Johari berbincang sesuatu dengan para hadirin selepas menyerahkan bantuan RM10,000 kepada wakil pengusaha terjejas akibat pandemik Covid-19 pada majlis simbolik penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 7.0 di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Abang Johari berbincang sesuatu dengan para hadirin selepas menyerahkan bantuan RM10,000 kepada wakil pengusaha terjejas akibat pandemik Covid-19 pada majlis simbolik penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 7.0 di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM78.5 juta bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di bawah Program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 Plus.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan pertama adalah bayaran secara sekali beri berjumlah RM10,000 kepada 470 PKS yang aktif dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM4.7 juta.

“Bantuan yang kedua adalah bayaran secara sekali beri sebanyak RM3,000 kepada perusahan mikro yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan berdaftar hingga tarikh 31 Mac 2021.

“Mereka yang ingin memohon perlu mengemukakan dokumen sokongan melalui Portal Sarawak Online yang boleh diakses pada penghujung bulan ini,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan Bantuan BKKS 7.0 di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri Sarawak sedang aktif merangka Pelan Strategi Pembangunan Pasca-Covid19 (PCDS) 2030 untuk mengembangkan ekonomi negeri pada kadar 6 hingga 8 peratus setahun.

“Ia adalah pelan jangka panjang yang memperincikan arah dan strategi pembangunan Sarawak untuk 10 tahun akan datang.

“Dalam hal ini, kami amat berharap PKS dapat menyumbang 30 peratus kepada pertumbuhan KDNK pada 2030. Oleh itu, kami akan terus meningkatkan ekosistem industri tempatan untuk memperkasa dan mengembangkan PKS,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: