Terjemah Keluarga Malaysia dalam amalan demokrasi, dasar kerajaan

Ismail Sabri ketika menyempurnakan prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lepas. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menyempurnakan prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Istilah ‘keluarga’ adalah konsep mudah diterjemah dan mempunyai makna yang amat dekat dengan setiap individu malah keluarga adalah sekecil-kecil institusi yang menjadi asas paling penting dalam membina sesebuah masyarakat.

Meneliti skop lebih luas khususnya ketika negara sedang berusaha bangkit daripada impak penularan Covid-19, pengenalan konsep Keluarga Malaysia dilihat bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara yang mengetengahkan nilai murni kekeluargaan seperti sikap toleransi, empati, kasih sayang dan pengorbanan ahlinya dalam apa jua keadaan.

Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran itu diperkenal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas.

Konsep itu bukanlah sesuatu di luar kelaziman malah Malaysia pernah menyaksikan pelbagai konsep pentadbiran dengan tema atau slogan tersendiri yang ditampilkan oleh setiap Perdana Menteri atau kerajaan yang mentadbir antaranya 'Malaysia Baharu’ ketika kerajaan Pakatan Harapan, ‘Gagasan 1 Malaysia’ di bawah kerajaan Datuk Seri Najib Razak dan ‘Islam Hadhari’ (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Memetik ucapan Ismail Sabri semasa prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lepas, Perdana Menteri berkata, idea itu dipilih kerana konsep sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahlinya terbela.

“Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan keterangkuman dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia. Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh bangun bumi bertuah ini,” katanya.

Menterjemah kerangka konsep Keluarga Malaysia, Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Nasrudin Mohammed berpendapat elemen dalam gagasan itu juga boleh dianggap usaha kerajaan dalam menangani persoalan demokrasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia usaha meminimumkan perbezaan politik antara pelbagai parti dalam negara yang diharap dapat mengendurkan tekanan politik sama ada di peringkat individu, parti mahupun kerajaan dan berusaha secara kolektif untuk mengutamakan keharmonian dalam semua situasi.

Justeru, katanya, untuk menjayakan Keluarga Malaysia, unsur asas kehidupan perlu diperkukuh dalam institusi keluarga sendiri seterusnya disokong kerajaan melalui dasar awam (berkaitan pembangunan sosial) dan dasar fiskal yang praktikal serta realistik untuk rakyat, yang sentiasa ditambah baik.

“Setiap perbelanjaan (belanjawan) dan dasar yang dibuat kerajaan perlu digarap dengan mengambil kira maklum balas dan keperluan komuniti (Keluarga Malaysia) serta semua agensi berkaitan.

“Dasar yang dilakukan mestilah merentas pertimbangan tertentu seperti etnik, golongan kurang upaya atau mana-mana golongan yang dilihat terpinggir daripada kelebihan ekonomi, sosial mahupun pembangunan umum.

“Proses penterjemahan Keluarga Malaysia secara jelas oleh rakyat akan berlaku apabila soal inklusiviti, kesalinghubungan, objektiviti, subjektiviti serta transformasi dan kelestarian nilai termasuk amalannya diutamakan kerajaan secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, adalah penting konsep Keluarga Malaysia direncanakan sebaiknya kerana soal inklusiviti sering dibayangi ketidakimbangan dari segi kesalinghubungan kerana wujud kelompok yang terpinggir sama ada secara automatik mahupun terpaksa atas beberapa faktor seperti kebolehcapaian (akses) akibat kemiskinan, kejahilan dan sebagainya.

Penganalisis politik itu berkata, isu bahawa konsep Keluarga Malaysia ‘menciplak’ idealisme Gagasan 1Malaysia tidak seharusnya timbul kerana kefalsafahan kedua-dua konsep mengangkat soal kemanusiaan, kesejahteraan berpaksikan rakyat dan kebertanggungjawaban kerajaan.

Beliau berkata, sebaliknya, kedua-dua gagasan boleh diadun dengan baik dan diharmonikan untuk mengangkat kesejahteraan komuniti atau rakyat.

Nasrudin berkata, cadangan mewujudkan sambutan Hari Keluarga Malaysia juga dilihat sesuai dan baik untuk menggambarkan kesungguhan komitmen kerajaan dalam memacu nilai kekeluargaan serta mencerminkan hasrat menggalakkan komuniti kembali kepada teras kemasyarakatan. - Bernama