RMK12 wajar pastikan pembangunan OKU bersifat mampan, lestari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan strategik lima tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) wajar mengambil kira elemen jasmani, emosi dan rohani orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan usaha pembangunan golongan itu bersifat mampan dan lestari.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, Kelantan telah membuktikan pembangunan mengambil kira elemen penciptaan fitrah mampu menatijahkan suatu perkembangan positif, sebagai contoh dengan pembentukan OKU Muqarrabun.

Menurutnya, dasar tersebut berjaya meletakkan OKU sebagai segmen komuniti yang aktif dan berperanan dalam masyarakat.

"Pengukuhan jati diri OKU harus dituruti dengan kefahaman dan kesediaan masyarakat menerima serta memperakui kepelbagaian, keupayaan yang ada dan potensi yang harus dibangunkan dalam diri seorang OKU.

"Semua ini dirangkumkan dalam pelaksanaan dasar OKU Muqarrabun yang telah berjalan sejak 2017 di negeri Kelantan," katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Negara pada Khamis.

Wan Martina berkata, sistem sokongan adalah perlu untuk memastikan OKU mendapat hak mereka seperti pelantikan jurubahasa isyarat oleh pihak kerajaan untuk menunjukkan kesungguhan dalam membantu golongan itu mendapat akses kepada agama.

Menurutnya, kerajaan perlu merangka modul pengisian dan kaedah sesuai mengikut kategori OKU, begitu juga dalam soal ibadah fardu ain dan fardu kifayah yang mana mereka juga berhak untuk belajar dan mengamalkannya bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap isu berkaitan reproduktif untuk remaja OKU terutama berkaitan masalah mental.

Artikel Berkaitan:

"OKU juga perlu diberi pendidikan perancang keluarga, (kerana) ada beberapa kes yang ditemui ibu bapa OKU mempunyai dua hingga tiga orang anak OKU. Ini tentunya membebankan keluarga terutama ibu bapa tiada pekerjaan atau sumber pendapatan tetap," katanya.

Sementara itu, Senator Nuridah Mohd Salleh ketika membahaskan RMK12 berkata, guru-guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas perlu diberi pendedahan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan teknologi sepertimana di Denmark yang mengaplikasikan teknologi bagi mengupayakan anak-anak OKU dengan kemahiran asas yang utama.

“Akses pendidikan berkualiti setara dengan kekurangan upaya yang dihadapi mereka adalah suatu perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana pendidikan jugalah untuk mereka asah kualiti dan kebolehan istimewa yang ada pada diri mereka untuk berdikari dan teruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar diadakan kolaborasi antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi mengesan murid-murid OKU yang mempunyai kelebihan atau kemahiran tertentu untuk diasah dan dilatih sedari awal seterusnya membolehkan mereka memberi sumbangan kepada negara. - Bernama