Kaji semula syarat permohonan subsidi yuran pengasuhan Taska

Gambar fail. - Foto Bernama
Gambar fail. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mengkaji semula syarat permohonan subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak memandangkan syarat utama permohonan iaitu pendapatan per kapita isi rumah tidak lagi setara dengan kadar gaji minimum.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, pendapatan per kapita isi rumah yang ditetapkan bagi permohonan subsidi itu adalah RM800 untuk kawasan bandar manakala RM500 bagi kawasan luar bandar.

“Kerajaan perlu mengkaji semula syarat kelayakan penerimaan subsidi ini kerana jarang kita dengar di bandar besar terutamanya Lembah Klang, gaji per kapita RM800 sebulan sedangkan kadar gaji minimum pun melebihi nilai tersebut,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada Khamis.

Kerajaan menetapkan subsidi yuran pengasuhan RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak hadir ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi keluarga yang layak.

Dalam pada itu, Nuridah turut membangkitkan mengenai isu geran penubuhan Taska di tempat kerja yang telah diperkenalkan sejak 2019 dengan mempersoalkan mengenai jumlah majikan yang telah memanfaat geran itu bagi mewujudkan taska di tempat kerja untuk kemudahan kakitangan mereka.

Geran penubuhan Taska di tempat kerja adalah peruntukan untuk penubuhan dan penyelenggaraan Taska di bangunan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.

Nuridah juga mencadangkan supaya geran itu diperluaskan kepada sektor swasta bagi mengurangkan kos bebanan kewangan yuran Taska yang tinggi sehingga ada mencecah RM500 sebulan.

“Hal ini amat membebankan golongan wanita bekerja lebih-lebih lagi pendapatan diterima adalah kecil pada masa sama perlu belanjakan sebahagian untuk yuran asuhan anak-anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin. - Bernama