X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Maksimum potensi industri kreatif dengan teknologi digital

Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan industri kreatif boleh dipercepatkan dengan memaksimumkan potensi industri itu terlebih dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, usaha itu boleh dicapai dengan memanfaatkan kreativiti dan teknologi digital Malaysia, di samping memelihara budaya, kesenian dan warisan negara yang tidak ternilai.

“Kami akan membangunkan ekosistem yang kondusif bagi landskap kreatif, menambah kemahiran tenaga kerja kami untuk memenuhi keperluan industri, serta mengukuhkan inisiatif pembangunan dan promosi produk kami," katanya pada Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur (KUL.CEF 2021) and pelancaran Art In The City (AITC) 2021 secara maya pada Khamis.

Beliau berkata, pendorong pertumbuhan itu akan meningkatkan hasil dan peluang pekerjaan, serta memperkukuh identiti budaya tempatan yang tersendiri, membuka jalan kepada Malaysia untuk menjadi pengeksport dan peneraju bidang kreatif yang terkemuka.

“Secara peribadinya, dalam bidang tugas saya sebagai menteri, saya berharap untuk melihat industri ini diperkukuh melalui pelan strategik, usaha yang diselaraskan di seluruh sektor awam dan swasta, pendekatan pangkalan data dalam meningkatkan sektor dan perkembangan modal untuk mengembangkan ekonomi kreatif Malaysia.

“Usaha ini perlu dilakukan segera melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan agensinya termasuk Agensi Seni Budaya (CENDANA) dan MyCreative Ventures,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, beliau juga berharap untuk melihat lebih banyak program strategik yang membantu membina kejayaan pertama industri seni tempatan sebelum ini seperti Upin & Ipin, Ejen Ali dan Didi & Friends yang telah berjaya menempa nama di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

“Sudah tiba masanya kini untuk memacu pertumbuhan industri dan ia memerlukan pendekatan atau berfikir di luar kotak yang kita boleh contohi daripada mereka yang telah meraih pencapaian yang sangat baik.

“Kita boleh menggunakan pendekatan ini di negara kita untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi memastikan industri menjadi enjin keterangkuman sosial, (membawa kepada) penciptaan pekerjaan, dan potensi keuntungan ekonomi untuk negara," katanya.

Annuar berkata, dengan 2021 menjadi Tahun Ekonomi Kreatif Antarabangsa bagi Pembangunan Mampan, banyak yang boleh dimanfaatkan daripada budaya dan aset karya kreatif.

“Kita sudah mempunyai hampir 900,000 rakyat Malaysia yang bekerja dalam ekonomi kreatif dan ia adalah satu jumlah yang besar. Banyak lagi yang boleh dilakukan dan saya percaya lebih banyak yang perlu dilakukan.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) disasarkan untuk meningkatkan sumbangan sektor kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak hampir 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, daripada RM26.8 bilion pada 2020 kepada RM31.9 bilion menjelang 2025.

“Kerajaan perlu memainkan peranan besar dalam memudahkan pertumbuhan ini. Ia bukan sahaja memerlukan penggubal dasar negara, tetapi juga syarikat dan pencipta kandungan, untuk memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi kreatif negara, terutama pasca Covid-19," katanya.

Selepas lebih daripada setahun tidak aktif berikutan pandemik Covid-19, CENDANA, anak syarikat MyCreative Ventures, menyasar untuk memulakan semula, memulihkan dan membina semula negara melalui sektor seni dan budaya menerusi salah satu daripada platform seni utamanya, AITC 2021.

AITC 2021 akan bermula dengan Forum KUL.CEF pada 14 Oktober, yang diadakan secara maya.

Forum KUL.CEF merupakan perbualan dalam talian susulan daripada Forum Ekonomi Kreatif yang berlangsung pada Oktober 2020. Ia adalah acara Malaysia sempena Tahun Ekonomi Kreatif Antarabangsa untuk Pembangunan Mampan.

KUL.CEF disasarkan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam menyumbang kepada perkembangan seni dan budaya di Malaysia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!