Cemar imej kampung: ADUN

Antara lokasi pembuangan sampah haram yang berlaku di Kampung Belimbing Dalam.
Antara lokasi pembuangan sampah haram yang berlaku di Kampung Belimbing Dalam.
A
A
A
ALOR GAJAH - Busuk, kotor dan menjijikkan! Itu keadaan di kawasan pembuangan sampah sarap haram di Kampung Belimbing Dalam, di sini.

Tinjauan di kawasan itu mendapati bukan sahaja sampah seperti botol plastik dan ranting kayu malah terdapat juga kulit dan tulang haiwan dipercayai kerbau bersepah di merata tempat hingga mengundang bau yang meloyakan.

ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, beliau kesal dan terkilan apabila kawasan tanah lapang dan tanah terbiar dalam DUN berkenaan sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Tulang dan kulit haiwan dipercayai dibuang di kawasan tersebut.
Tulang dan kulit haiwan dipercayai dibuang di kawasan tersebut.

Menurutnya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan berkenaan digesa memantau aktiviti tidak sihat ini yang dikhuatiri akan menjejaskan kawasan penduduk berdekatan.

"Pada masa sama, kita akan berbincang dengan MPKK dan pihak terbabit untuk menyediakan tempat pembuangan sampah yang sesuai dan sistematik termasuk penyediaan tong-tong sampah besar selain sampah perlu dikutip oleh pihak berkenaan.

"Orang ramai digesa supaya tidak membuang sampah merata-rata kerana ini melambangkan tahap kesedaran kebersihan yang rendah.

"Tindakan seperti ini bukan sahaja melambangkan tahap kesedaran sivik yang rendah malah turut mencacatkan pemandangan dan juga mencemarkan nama baik kampung dan negeri kita," katanya.

Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka berkata, penduduk kampung juga diharap agar lebih sensitif dengan gejala pembuangan sampah haram dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku apa-apa aktiviti yang dilihat menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya bimbang sekiranya pembuangan sampah haram terus berlaku bukan hanya akan mencemarkan persekitaran dan sungai berdekatan bahkan wabak penyakit boleh tersebar," katanya.