Timbang sasaran baharu perkasa Komuniti Ekonomi Bumiputera

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penanda aras dan sasaran baharu bagi memperkasa Komuniti Ekonomi Bumiputera kini perlu dipertimbangkan berikutan cabaran yang dihadapi Malaysia pada masa ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan 50 tahun lepas, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malah, beliau menegaskan, perlu diakui bahawa usaha pengwujudan Komuniti Ekonomi Bumiputera merupakan satu usaha nasional yang melibatkan pelbagai dimensi serta kritikal demi kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang Malaysia.

“Ya, ia merujuk kepada pemilikan ekuiti. Namun, ia juga harus melibatkan aspek penyertaan dan sumbangan bumiputera seperti pembangunan modal insan, keusahawanan, pekerjaan, rantaian bekalan dan inovasi dalam industri baharu, terutama dalam makanan dan perkhidmatan halal,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada program Siri 1 Maya 1 di sini, pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul juga menegaskan sekiranya Bumiputera mahu menjadi kuasa pemacu ekonomi, rancangan atau pelan dengan matlamat membawa kebaikan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu dimodenkan.

“Oleh itu, kita perlu berusaha mengetengahkan dasar-dasar yang menekankan aspek keberhasilan dan akan memberi manfaat kepada seluruh negara,” katanya.

Berkongsi kejayaan DEB, beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan pada 1971, tahap kemiskinan dalam kalangan masyarakat Bumiputera telah berkurangan sebanyak 89 peratus di bawah 7.2 peratus.

Pada 2020, sebanyak 61.6 peratus bumiputera berkhidmat dalam pekerjaan mahir manakala 73.7 peratus isi rumah bumiputera memiliki kediaman sendiri, katanya.

Menurutnya, bagi menangani aspek pemilikan ekuiti, instrumen dasar utama bagi meningkatkan pemilikan bumiputera dalam syarikat-syarikat Malaysia adalah seperti penubuhan agensi seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menguruskan dana-dana Amanah Saham Bumiputera dan disifatkan beliau sebagai ‘satu kejayaan hebat.’

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, daripada menguruskan aset berjumlah RM30 bilion pada 2001 kepada RM323 bilion pada hari ini, PNB telah mencatat pertumbuhan lebih 10 kali ganda dan memiliki kira-kira 10 peratus daripada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Bagi tempoh 2016 hingga 2020, dividen berjumlah RM52.4 bilion telah diagihkan kepada lebih 12 juta pemegang unitnya,” katanya.

Selain itu, setakat 2020, hampir 290,000 kalangan bumiputera telah mengikuti pengurusan atau program profesional Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional.

Menurutnya, pada masa sama, lebih 28,000 menyertai program kendalian Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

“Dari segi pendidikan tinggi, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah memberi biasiswa kepada 240,000 penuntut bagi menamatkan pengajian mereka dalam tempoh 2016 hingga 2020,” katanya. - Bernama