Bukan hanya ICERD, tapi jika bercanggah Johor tetap tolak

No Image Caption
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri meminta supaya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak dipolitikkan kerana dikhuatiri menjadi punca perpecahan antara satu sama lain.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ini kerana, kerajaan negeri bukan sahaja menolak ICERD yang menjadi kerisauan rakyat terutama orang Melayu.

Menurutnya, tetapi turut berikrar untuk sentiasa menolak mana-mana perundangan yang bercanggah dengan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

"Pendirian kerajaan Johor mudah, dengan keunikan dan asas kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Malaysia tidak perlu untuk meratifikasi ICERD atau meratifikasi mana-mana konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka, isu berkaitan ICERD telah selesai kerana kerajaan Persekutuan juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD.

"Permintaan saya ialah, jangan dipolitikkan lagi isu ini dan akhirnya membawa perpecahan antara satu sama lain," katanya.

Osman (PH-Kempas) berkata demikian ketika menjawab secara bersekali soalan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut), Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-layang) berkaitan pendirian isu ICERD di Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, ratifikasi secara mudah bermaksud bersetuju untuk terikat dengannya.

"Oleh itu, sebuah tempoh diperlukan bagi mengkaji dan melaksanakan penyelidikan khusus berkenaan ICERD ini.
Artikel Berkaitan:


"Kajian ini harus diterjemahkan dengan hasil yang relevan terutama dengan suasana majmuk negara kita," katanya.