'Sebahagian besar terima bekalan air bermula hari ini, esok'

Amirudin (kanan) mengagihkan botol air minuman kepada penduduk di Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya pada Khamis.
Amirudin (kanan) mengagihkan botol air minuman kepada penduduk di Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebahagian besar kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja penyelenggaraan dan pembaikan aset utama air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka menerima bekalan air pada Khamis dan Jumaat ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian kawasan lain pula akan menerima secara berperingkat pada hari berikutnya.

"Saya menjangkakan sebahagian besar pengguna akan mula menerima bekalan air pada hari ini (Khamis) dan esok (Jumaat) manakala sebahagian lain pula akan menerima secara berperingkat," katanya yang memuat naik status di Facebooknya pada Khamis.

Amirudin menjelaskan, sebanyak 105 lori tangki dan 18 pili awam akan terus digerakkan dan disediakan kepada pengguna terjejas sehingga yang terlibat menerima bekalan air.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 500 botol air minuman lima liter diagihkan kepada penduduk di Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya.

Katanya, pengagihan itu dilakukan beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv dan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

"Pihak Air Selangor juga telah menyediakan dua tangki statik dengan kapasiti 5,600 liter bagi kegunaan penduduk di kawasan ini," katanya.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, sejumlah 998 kawasan di sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman dilaporkan berkata, gangguan itu disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.