X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

'Pintu rumah diketuk, bantuan tiba'

Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan bantuan makanan ketika lawatan MAIWP Jejak Asnaf di rumah keluarga Terunah (dua dari kiri) di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Keprihatinan jiran sekeliling telah membantu ibu kepada lima anak yang terputus bekalan makanan hampir seminggu mendapatkan bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Norhayatul Shima Maulana, 29, melalui saat sukar apabila suaminya terkandas di Sabah hampir empat bulan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suri rumah sepenuh masa itu tinggal di sini bersama tiga anak dan keputusan bekalan makanan disebabkan tiada punca pendapatan.

"Dalam tempoh seminggu itu, saya makan nasi tanpa lauk selain masak nasi goreng dan bubur. Adakala jiran datang memberikan lauk untuk kami.

"Saya tidak tahu kes saya sampai ke Baitulmal sehinggalah tiba-tiba pintu rumah diketuk dan bantuan tiba," kongsinya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dia ditemui ketika menerima lawatan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dalam program MAIWP menjejaki asnaf.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Norhayatul Shima berkata, bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan yang diterima daripada Baitulmal digunakan untuk perbelanjaan dapur dan sewa rumah sebanyak RM124 sebulan.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menziarahi keluarga Norhayatul Shima di Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menziarahi keluarga Norhayatul Shima di Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, suaminya, Terunah Aduka, 32, berkata, dia akan menggunakan bantuan RM500 diberikan itu untuk membeli tiket kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur.

Malah, Terunah turut diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan hampir sebulan lalu dengan bantuan Baitulmal.

"Saya pulang ke Sabah sebelum ini kerana urusan keluarga memandangkan seorang lagi anak masih bersekolah di sana sebelum larangan rentas negeri dikuatkuasakan.

"Saya bimbang juga dengan keadaan keluarga di Kuala Lumpur, namun isteri memaklumkan tidak perlu risau kerana ada menerima bantuan.

"Pada ketika itu, saya sedih tetapi bersyukur kerana ada yang sudi membantu keluarga saya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, keluarga itu dibantu melalui Skuad Jejak Asnaf yang digerakkan untuk membantu golongan asnaf yang tercicir daripada kerangka bantuan selain melalui maklumat dan aduan awam.

"Keluarga ini dibantu sejak PKP lalu sehinggalah suaminya pulang ke Kuala Lumpur dan mula bekerja hasil bantuan MAIWP.

"Ini tugas MAIWP bagi memastikan tiada golongan tercicir. Hasil kutipan zakat daripada pembayar digunakan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Sehingga kini, katanya, MAIWP telah membantu sebanyak 28,000 asnaf di Wilayah Persekutuan dan tambahan lain bagi memastikan tiada golongan tercicir.

Tambah beliau, maklumat golongan memerlukan boleh disampaikan terus kepada MAIWP untuk diambil tindakan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!