Pas adakan solat hajat tangkis fitnah

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pemimpin Pas negeri bersama ahli serta penyokong parti itu akan mengadakan solat hajat perdana di Masjid Rusila bagi menangkis serangan fitnah terhadap parti itu, malam ini.

Solat hajat itu diadakan sempena Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam dan akan diimamkan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Aturcara majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah diikuti munajat dan solat hajat perdana serta ucapan akan disampaikan presiden parti yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana jutaan ringgit: Rameli, Zaidy, kerani Pas tiba di SPRM

Antara pemimpin dijangka hadir program Badan Perhubungan Pas negeri itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Speaker DUN, Yahaya Ali dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

Sebelum ini, dalam entri Facebooknya, Abdul Hadi menyeru seluruh pemimpin, ahli serta penyokong Pas bermunajat dan berdoa kepada ALLAH di atas apa yang dihadapi parti itu ketika ini.

Beliau tampil memberi reaksi setelah dirinya serta kepimpinan Pas diserang fitnah berkaitan perkembangan terbaharu isu dana RM90 juta.

Dalam seruan itu, Abdul Hadi mahu mereka berkenaan sama-sama menunaikan solat hajat selain berpuasa, membaca al-Quran serta melakukan amal kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau juga mahu seluruh kepimpinan, ahli serta para penyokong Pas supaya bertawassul memohon kepada ALLAH agar memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.