GPMS saran kerajaan sedia peruntukan khas latihan industri

Gambar kecil: Nik Saiful
Gambar kecil: Nik Saiful
A
A
A

KOTA BHARU – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi membantu golongan pelajar yang menjalani latihan industri supaya faktor upah tidak menghalang mereka menceburi bidang kerjaya mengikut pengajian mereka.

Naib Presidennya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, jika kerajaan boleh menyediakan subsidi untuk pekerja melalui Program Subsidi Upah (PSU) dan Penjana Kerjaya, maka menaja dan memberi subsidi kepada latihan industri juga menjadi sebahagian daripada proses menyediakan rakyat Malaysia yang bekerjaya.

“Melalui cara ini, kedua-dua pihak sama ada pelajar mahupun pihak industri tidak akan tertekan dan bebas menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kelangsungan ekonomi dalam waktu yang sukar sebegini. Ia juga menjamin penyediaan tenaga kerja tempatan yang lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian berhubung tindakan mahasiswa yang tertekan dan berhenti menjalani latihan industri di syarikat tertentu kerana mendakwa diperlakukan seperti hamba.

Malah, terdapat juga syarikat yang memberikan elaun yang rendah kepada mahasiswa dan lebih teruk apabila dipaksa bekerja seperti pekerja am tanpa sebarang upah.

Mengulas lanjut, Nik Saiful berkata, GPMS memandang serius isu ini terutamanya apabila ia melibatkan latihan industri yang menjadi transisi seorang pelajar daripada alam pengajian kepada dunia kerjaya.

Katanya, tidak dinafikan bahawa kecekalan dan ketahanan seorang pelajar perlu diuji bukan sahaja melalui peperiksaan di bilik darjah tetapi juga melalui ujian sebenar apabila memasuki alam pekerjaan.

“Namun ia bukanlah suatu tiket untuk majikan mempergunakan pelajar-pelajar di dalam latihan industri dengan cara yang tidak sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman menghadapi latihan industri, pemilihan tempat tempat industri bukan sahaja dipilih oleh pelajar mengikut kesesuaian bidang pengajian tetapi juga mengambil kira bayaran gaji atau elaun yang bakal diterima di tempat industri tersebut," jelasnya.

Nik Saiful berkata, pelajar-pelajar ini bukannya mahu hidup mewah dengan elaun latihan industri tetapi sekadar mahu menjalani latihan tanpa membebankan ibu bapa dengan kos-kos tambahan yang lain.

“Ada juga pelajar yang terpaksa menjalani latihan industri di tempat tempat yang tidak kena dengan bidang pengajian semata-mata kerana mahukan insentif elaun yang menarik di tempat tersebut.

“Keadaan sebegini sebenarnya akan mengubah tujuan asal latihan industri seterusnya latihan tersebut tidak akan mencapai matlamat sebenar dan yang akan rugi ialah pelajar,” katanya.