Covid-19: 8,084 kes baharu, 12,456 pesakit sembuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 8,084 kes baharu Covid-19 direkodkan di negara ini pada Khamis, sedikit meningkat berbanding Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,951 kes atau 98.4 peratus adalah kategori satu dan dua.

"Hanya 133 kes atau 1.6 peratus dikategorikan sebagai tahap tiga hingga lima," katanya.

Menurutnya, jumlah itu juga terdiri daripada 21 kes import dan 8,063 kes penularan dalam negara melibatkan seramai 7,594 rakyat tempatan dan 469 warga asing.

"Jumlah terkumpul kes positif Covid-19 ialah 2,369,613," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 703 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 367 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mencatatkan sebanyak 12,456 kes sembuh, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,240,345 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 17 kluster baharu dikenal pasti membabitkan sembilan daripadanya ialah kluster tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, terdapat empat kluster komuniti, tiga kluster berisiko tinggi dan satu kluster pendidikan swasta yang berdaftar.

"Jumlah keseluruhan kluster ialah 5,641 dan 4,897 kes telah diisytiharkan tamat, manakala 744 kes lagi masih aktif," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Putrajaya dan Negeri Sembilan merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) melebihi nilai kebangsaan iaitu 0.88.

Menurutnya, Putrajaya merekodkan Rt iaitu 1.07, selain Negeri Sembilan (1.03), Perlis (0.99), Kelantan (0.96), Kuala Lumpur (0.95), Terengganu (0.94), Selangor (0.92), Pahang (0.89), Melaka (0.88), Sabah (0.87), Kedah (0.87), Perak (0.84), Johor (0.83), Pulau Pinang (0.82) dan Sarawak (0.78).

Pada perkembangan sama, beliau berkata, sejumlah 19,732 kes telah dipantau oleh pusat penilaian Covid-19 swasta (CAC GP).

"Kini, terdapat sebanyak 1,149 buah CAC GP yang diwartakan di seluruh Malaysia di mana 81 daripadanya aktif dalam menyediakan perkhidmatan pemantauan kes yang sedang menjalani isolasi di rumah," jelas beliau.