X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Moratorium kepada B50 satu kemenangan untuk rakyat: PH

A
A

SHAH ALAM - Pemberian moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50) untuk tempoh tiga bulan merupakan satu kemenangan kepada rakyat, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

PH dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut adalah antara dasar yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara gabungan tersebut dan kerajaan.

Bagaimanapun, PH melahirkan rasa kesal kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengiktiraf dasar tersebut sebagai antara perkara yang terkandung dalam MoU berkenaan.

“Malah pengecualian ini digambarkan sebagai idea kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksanakan dalam semangat menunaikan perkara-perkara yang terkandung di dalam MoU.

“Tanpa pengiktirafan peranan MoU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak kerajaan untuk berpegang kepada semangat MoU ini.

“Ia turut bercanggah dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) dengan memberikan sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif kepada kumpulan B50 yang terjejas.

Ismail Sabri berkata, kemudahan ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH turut menyatakan adalah penting untuk dijelaskan pada awalnya bahawa pihak kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan gabungan itu bagi memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam daripada kelompok B50.

“Untuk memastikan dasar ini dapat dilaksanakan, pimpinan utama PH telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan, malah juga dengan ketua-ketua pegawai eksekutif bank komersial.

“Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan pihak bank-bank, namun setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan PH disampaikan dengan jelas, Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami, akhirnya dasar ini dapat dilaksanakan,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!