Sektor pelancongan perlahan awal 2019

Kathryn (tengah) pada sidang medianya semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Sektor pelancongan bagi dua bulan pertama tahun ini sedikit perlahan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Johor Chapter, Kathryn Lee berkata, kebanyakan pemain industri mengeluh mengenai perkara itu.

"Semua kata pasaran sangat perlahan malah kami sendiri merasainya sebab itu kita perlu adakan pameran Matta untuk gerakkan pasaran itu. Kalau tak buat apa lagi teruk.

"Jadi pengguna boleh semak apa tawaran terbaik yang ada," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman penganjuran Matta Fair 2019 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan sektor pelancongan begitu rancak beberapa bulan terakhir pada 2018.

"Tahun lepas sangat bagus, rancak lebih-lebih lagi apabila di hujung tahun tapi awal tahun ini, masuk saja tahun baharu kurang sedikit, agak perlahan," katanya.

Menurutnya, orang ramai tetap akan pergi melancong sama ada dekat atau pun jauh.

"Pasaran itu masih berjalan, kalau orang nak pergi melancong, mereka tetap akan pergi juga," katanya.

Matta Fair akan berlangsung pada 5 hingga 7 April di Capital City, Tampoi bermula jam 10.30 pagi hingga jam 9.30 malam.

Sebanyak 130 pempamer daripada resort, hotel, taman tema dan sebagainya akan menawarkan pelbagai tawaran menarik.