Rompak pekerja dobi: Tiga rakan dipenjara dan sebat

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SETIU - Tiga rakan masing-masing dihukum penjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merompak beg sandang seorang pekerja dobi dalam kejadian kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman itu masing-masing terhadap Muhammad Irfan Irwan Mohd Khalid, 32, Mohammad Shakirin Armi, 27, dan Mohamad Nasrun Hilmi Muhmood, 24, selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan iaitu satu beg sandang milik Nurul Izani Ghazali, 21, yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, telefon bimbit jenis OPPO F9, kad juruwang automatik (ATM) dan wang tunai di selekoh perkuburan berdekatan Pekan Sungai Tong di sini kira-kira jam 8.50 pagi, 17 Disember 2019.

Dengan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh ditangkap pada 12 Jun tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabi'atul Adawiah Soupy, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 17 Disember 2019, kira-kira jam 8.10 pagi, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di pekan Sungai Tong di sini dengan menunggang motosikal secara tiba-tiba dihimpit sebuah kereta jenis Perodua Kelisa sehingga ke kaki lima jalan.

Mangsa kemudian nampak seorang lelaki tidak dikenali yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan keluar sebelum mengarahkannya menyerahkan beg sandang tetapi mangsa bertindak melawan.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut terus menarik beg mangsa sehingga putus talinya dan terus masuk ke dalam kereta bersama beg mangsa.

Mangsa hanya nampak kereta dinaiki tiga lelaki menghala ke arah bandar Permaisuri di sini.