Khidmat 8,688 pemimpin JPKK disambung sehingga 2023

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Khidmat pengerusi dan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dijadualkan tamat pada 31 Disember depan akan disambungkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lanjutan perkhidmatan itu membabitkan 8,688 individu yang terdiri daripada pengerusi, setiausaha dan ahli jawatankuasa (AJK) JPKK bermula 1 Januari tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun turut menetapkan lanjutan khidmat ini terkecuali atas kes-kes tertentu yang memerlukan penggantian.

"Keputusan ini telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK) negeri yang berlangsung pada Rabu.

"Dengan pengumuman awal ini secara tidak langsung dapat memberi sedikit kelegaan dan kepastian tentang kedudukan kesemua pemimpin peringkat bawahan itu. Mereka juga telah menunjukkan komitmen tinggi dan keberkesanan dalam melaksanakan peranan masing-masing semasa penggal 2020 hingga 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan terdapat 543 JPKK di seluruh Pahang dan setiap JPKK dianggotai masing-masing seorang pengerusi dan setiausaha yang dilantik dalam kalangan kepimpinan UMNO setempat.

Katanya, terdapat 14 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli UMNO dan ahli Pas memandangkan kedua-dua parti ini berada dalam gagasan politik Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

"Saya berharap, mereka dapat meningkatkan lagi komitmen dan peranan mereka pada penggal baharu yang dijangka tempohnya lebih mencabar," ujarnya.

Artikel Berkaitan: