Pakej peranti, internet Keluarga Malaysia dilancar

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melancarkan pakej Remaja Keluarga Malaysia dan pakej Peranti Keluarga Malaysia bagi membantu golongan itu memiliki peranti dan akses internet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kedua-dua pakej itu ditawarkan mulai Jumaat ini.

"Ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada internet pada harga patut," katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran pakej berkenaan di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pascasiswazah.

"Dengan bayaran RM10 sebulan dan dibayar RM30 untuk tiga bulan mereka akan mendapat data 20 gigabyte (GB). Selain itu mereka turut diberikan data 1GB percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari dan akses internet tanpa had.

"Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari internet manakala data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data," jelasnya

Dalam pada itu, Annuar berkata, Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula membolehkan pengguna memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan voice over long term evolution (VoLTE) secara percuma.

"Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan dengan 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap pakej-pakej ini akan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan," katanya

Sementara itu, Annuar turut menyarankan agar wakil rakyat dapat memanfaatkan peluang ini untuk menaja pelajar yang tidak berkemampuan dengan mendaftarkan pakej-pakej tersebut.

"Mereka boleh tampil berbincang dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Saya juga menaja 1,000 individu untuk kedua-dua pakej tersebut," katanya.

Ditanya mengenai permohonan untuk pakej tersebut, beliau berkata, individu berminat boleh mengunjungi kaunter penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau memohon secara dalam talian.