KDEBWM sumbang 30 tong sampah

Mohd Idris (tiga dari kanan) menyerahkan tong sampah kepada Abdul Raheem (dua dari kiri) di IPD Kuala Langat pada Rabu.
Mohd Idris (tiga dari kanan) menyerahkan tong sampah kepada Abdul Raheem (dua dari kiri) di IPD Kuala Langat pada Rabu.
A
A
A

KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbangkan sebanyak 30 tong sampah jenis MGB sebesar 120 liter kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi memenuhi keperluan menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Pengurus Besar Operasinya, Mohd Idris Mohamed Yusof berkata, sumbangan menyediakan tong sampah yang berkualiti untuk menampung sampah di kawasan ini bertujuan supaya tiada air sisa yang keluar daripada sampah-sampah tersebut.

Menurut beliau, apabila sampah diletakkan di atas tanah, haiwan seperti anjing dan kucing akan mengoyakkan plastik sampah untuk mencari makanan dan menyebabkan air sisa sampah tersebut meleleh di atas jalan.

“Air tersebut telah tercemar dan menyerap ke dalam tanah tetapi ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini.

“Kami berharap tong ini dapat digunakan dengan sebaiknya dan diletakkan di beberapa tempat untuk memudahkan pihak kontraktor sampah mengutip sampah tersebut ke tapak pelupusan,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Langat, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Idris memberitahu, pihaknya juga mengagihkan tong sampah kepada balai bomba, sekolah, klinik dan kawasan kampung untuk mewujudkan suasana yang lebih bersih.

Mohd Idris (dua dari kanan) dan Abdul Raheem (tiga dari kanan) bersama tetamu yang hadir pada sesi simbolik penyerahan 30 tong sampah oleh KDEBWM kepada IPD Kuala Langat pada Rabu.
Mohd Idris (dua dari kanan) dan Abdul Raheem (tiga dari kanan) bersama tetamu yang hadir pada sesi simbolik penyerahan 30 tong sampah oleh KDEBWM kepada IPD Kuala Langat pada Rabu.

“KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor amat mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat pihak yang amat memerlukan bantuan seperti ini sekali gus dapat bersama-sama melestarikan kebersihan dan keindahan khususnya di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Inspektor Abdul Raheem Eliyas berkata, tong-tong tersebut akan diletakkan di kawasan yang strategik supaya ia lebih tersusun dan tidak berselerak.

Ujar beliau, sumbangan tersebut juga merupakan tanda sokongan KDEBWM kepada pasukan polis yang sentiasa memastikan kelestarian alam sekitar, keceriaan bangunan dan kebersihan kawasan sekitar.

“Saya berharap dengan sumbangan ini, kita dapat menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menjaga alam sekitar dengan kerjasama daripada pihak KDEBWM dan lain-lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Norain Mohamed berterima kasih kepada pihak KDEBWM kerana sumbangan tong sampah tersebut.

“Saya berharap KDEBWM dan MPKL boleh bekerjasama untuk menguruskan sisa pepejal dengan lebih kreatif dan terkawal,” katanya.