X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

UMP terima 1,528 pelajar baharu

Dr. Yuserrie (tiga dari kanan) bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bermesra dengan para pelajar baharu dalam sesi program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa (MIND’S 2021) yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis lalu.
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima 1,528 pelajar baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu bagi sesi akademik 2021/2022.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pihak universiti merakamkan penghargaan keada semua pelajar yang terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMP.

Menurutnya, dijangkakan seramai 5,000 pelajar berkeperluan dengan beberapa kategori pelajar akan dibenarkan kembali ke universiti secara fizikal bagi menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) bagi memulakan sesi pengajian semester baharu.

"Pelajar yang akan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober hadapan diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pihak universiti sentiasa berusaha untuk mewujudkan gelembung kampus dalam memastikan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Dr Yuserrie berkata, UMP juga merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan influks jangkitan Covid-19 dari luar kampus dan mengehadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus.

Sementara itu, beliau menekankan agar semua pelajar mengambil peluang menyertai aktiviti kelab atau persatuan sebaik kembali ke kampus kelak.

"Terdapat 70 badan pelajar berdaftar yang boleh disertai sama ada berteraskan sukan, kebudayaan, rekreasi, inovasi, kepimpinan, pengucapan awam, khidmat komuniti dan keusahawanan.

“Jadikan pembelajaran di universiti sebagai pemecah tembok yang menghalang interaksi harmoni disebabkan stigma kaum, agama dan kenegaraan dengan mewujudkan semangat kekitaan dalam konteks keluarga besar UMP,” katanya.

Tambah beliau, UMP kini menawarkan 41 program pengajian pada pengambilan kali ini termasuk tujuh program baharu.

"Antaranya Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Minyak dan Gas) yang ditawarkan melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).

"Program baharu lain yang turut ditawarkan pada semester ini ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)," katanya.

"Sementara itu, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) menawarkan program pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) manakala Sarjana Muda Analitis Perniagaan ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI)," katanya.

Beliau berkata, UMP sentiasa mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

"Penawaran program akademik sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!