Rozman didakwa dapatkan suapan

Rozman
Rozman
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Labuan (Warisan), Datuk Rozman Isli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mendapatkan suapan kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi sebuah syarikat, iaitu bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Ketua Whip Warisan berusia 57 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 23 Mac 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, Mohd Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman tidak membantah jumlah ikat jamin yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dari Semenanjung serta syarat tambahan tersebut.

Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.