X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Peneroka Felda rugi RM3,820 terpedaya sindiket pinjaman tidak wujud

A
A

KUANTAN - Seorang warga emas kerugian RM3,820 angkara terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud, selepas membuat lima kali transaksi menggunakan mesin deposit wang di sebuah bank di Rompin.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 63 tahun merupakan peneroka Felda terpedaya dengan sindiket terbabit 9 Oktober lalu.

Menurutnya, pada hari kejadian, jam 8.20 malam ketika berada di rumahnya di Felda Selendang, Rompin, mangsa telah melayari Facebook.

"Mangsa telah melihat iklan pinjaman wang berlesen yang memberi lulus dalam masa 24 jam dan berhasrat untuk membuat pinjaman sebagai modal perniagaan.

"Seterusnya mangsa berhubung dengan seorang lelaki dikenali Tan Kar Choon dan mereka perbincangan sebelum bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 dengan bayaran balik RM160 selama tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir menjelaskan pada keesokan harinya, mangsa telah mengemukakan semua dokumen yang diminta oleh suspek bagi tujuan pinjaman terbabit.

Katanya, selepas itu, suspek memberikan surat pengesahan kelulusan pinjaman daripada syarikat kepada mangsa.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran pelbagai prosedur proses pinjaman sehingga mengalami kerugian RM3,820.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin selepas merasakan dirinya telah ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan dalam urusan pinjaman wang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Tambahnya, tawaran itu mendorong mangsa membuat pembayaran dan mengakibatkan kerugian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!