X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kesan golongan tercicir untuk suntik vaksin Covid-19

Dr Nor Azimi (kiri) sedang menyuntik vaksin kepada salah seorang golongan gelandangan di kawasan Jang Wong Ah Jang pada program yang diadakan pada Rabu.
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan mengesan golongan tercicir melalui program outreach di seluruh Pahang bagi memastikan semua penduduk yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pendekatan itu diambil selepas mengambil kira sebahagian penduduk negeri itu yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak mempunyai kemudahan teknologi serta kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, setakat ini sudah 85 peratus populasi dewasa sudah mendapat suntikan dos satu vaksin Covid-19 daripada seramai 1.175 juta penduduk dan masih ada saki baki individu yang gagal mendapat suntikan.

"Kalau lihat yang mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebahagian besar sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi kita yakin masih ada lagi mereka yang tercicir. Mereka ini (individu tercicir) kemungkinan tidak mendaftar disebabkan ada masalah seperti kekangan teknologi, berada di kawasan pedalaman, ketiadaan talian telefon dan sebagainyam

"Jadi selebihnya (saki baki) kita akan mencari dan mendekati mereka melalui program outreach. Kifa mahu mereka ini dapat disuntik (vaksin Covid-19) supaya peratus imuniti berkelompok dapat dicapai sepenuhnya. Begitu juga dengan golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun, kita akan mengesan seramai mungkin untuk memberi vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat program vaksinasi Covid-19 di daerah Kuantan bersama gelandangan dan rentan di Surau Al- Hidayah Komuniti Wong Ah Jang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai program vaksinasi kepada komuniti di kawasan Wong Ah Jang, Nor Azimi menjangkakan seramai 100 gelandangan dan rentan terdiri daripada populasi dewasa dan remaja akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program itu.

Menurutnya, berdasarkan rekod seramai 1,286 remaja di seluruh Pahang adalah kumpulan tercicir yang terdiri daripada gelandangan, orang kelainan upaya dan mereka yang tidak bersekolah.

Jelasnya, program outreach merupakan sebahagian daripada program jangkauan luar yang sedang rangka di Pahang termasuk di daerah Kuantan.

"Kita akan mengadakan program sebegini sebanyak mungkin. Kalau kita lihat pada minggu lepas kita adakan di masjid dan kita dapati sambutan baik. Jadi, kita akan teruskan program ini di kawasan yang perkumpulan atah tempat awam yang boleh kita mencari mereka yang belum disuntik.

"Kita ada cadangan untuk memulakan program sebegini di pasaraya, di kampung-kampung kerana kita merasakan ada kumpulan penduduk yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi yang layak," ujarnya.

Ditanya mengenai pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, beliau menjelaskan Pahang mempunyai perancangan dan bersedia sebagaimana kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi, garis panduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pahang.

"Perancangan untuk pemberian dos ketiga itu, tetapi kita perlu mendapat garis panduan yang lengkap daripada pihak KKM sebelum pelaksanaannya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!