X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Sekolah pertama kitar semula minyak masak

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Khairani Sabtu (tengah) menuang minyak masak ke penapis sebelum dimasukkan ke dalam tangki yang disediakan oleh pihak syarikah biodisel, FatHopes Energy Sdn Bhd.
A
A

KOTA BHARU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian di sini muncul sebagai sekolah pertama di negara ini yang melaksanakan program kitar semula minyak masak terpakai kepada biodesel sejak Isnin lalu.

Projek kolaboratif bersama syarikat pengeluar biodesel, FatHopes Energy Sdn Bhd itu dilakukan dengan objektif utama melestarikan alam sekitar sejajar dengan hasrat kerajaan.

Pengetua SMK Kubang Kerian, Khairani Sabtu berkata, kerjasama menerusi Projek Eko-Komuniti tercetus hasil kejayaan ciptaan aplikasi digital pengurusan bahan kitar semula 'Recybin'.

Beliau berkata, reka bentuk inovasi dihasilkan oleh tiga pelajar SMK Kubang Kerian iaitu Fareisha Adriani Farez, 13; Muhammad Faris Daniel Muhammad Effendy, 14, dan Nur Iman Akmal Mazue Fazrol, 14, itu memenangi tempat ketiga pertandingan Toyota Eco-Youth Reimagining Mobility 2020/2021.

“Ciptaan itu menarik perhatian pihak FatHopes Energy Sdn Bhd untuk mengadakan kolaboratif dengan pihak kami dalam projek kitar semula minyak masak terpakai.

“Projek bermula dengan 115 guru dan 1,235 pelajar di sekolah ini serta ibu bapa pelajar yang akan menyumbangkan minyak masak terpakai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Kubang Kerian pada Rabu.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Khairani Sabtu (tengah) bersama pelajar Tingkatan Enam menunjukkan minyak masak terpakai yang dihantar oleh guru untuk dikitar semula.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Khairani Sabtu (tengah) bersama pelajar Tingkatan Enam menunjukkan minyak masak terpakai yang dihantar oleh guru untuk dikitar semula.

Mengulas lanjut, Khairani berkata, sumbangan minyak masak terpakai kepada sekolah turut dibuka kepada orang awam seperti suri rumah atau peniaga yang berminat untuk menyumbangkan bahan sudah digunakan itu.

“Usaha ini dilakukan untuk mendidik masyarakat supaya menguruskan sisa buangan minyak masak terpakai dengan betul berbanding hanya dibuang ke dalam saluran longkang seperti kebanyakan dan kebiasaan yang dilakukan ramai.

“Kita mahu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat supaya menguruskan sisa minyak masak terpakai dengan betul dan dikitar semula untuk kelestarian alam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, minyak masak terpakai yang dihantar ke sekolah itu akan dikumpulkan ke sebuah tangki berkapasiti 1,000 liter (L) yang disediakan oleh pihak syarikat di pekarangan tempat letak kereta sekolah itu.

“Pihak syarikat akan membeli bekalan yang dikumpulkan dan akan diproses menjadi biodisel sebelum dieksport ke luar negara seperti Eropah.

“Hasil jualan akan dimasukkan ke tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk kegunaan pelajar manakala biodesel yang dieksport itu pula akan digunakan untuk menghasilkan produk-produk seperti sabun, syampu dan sebagainya. Maklumat lanjut boleh layari www.fathopesenergy.com,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!