X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Fokus pekerja berkemahiran menengah dan tinggi

Belanjawan 2022 perlu memfokus untuk mempertingkatkan dan menyediakan peluang pekerjaan, khususnya melibatkan pekerja berkemahiran menengah dan tinggi.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan keutamaan mana-mana pelaburan yang masuk ke negara ini ke arah penggunaan pekerja berkemahiran menengah dan tinggi yang memerlukan kemahiran rakyat Malaysia.

Pakar Ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia perlu bagi membantu menyelesaikan masalah pengangguran yang masih tinggi di Malaysia.

“Kini pihak industri sudah boleh mohon permit untuk mengambil pekerja asing yang memerlukan pekerja berkemahiran rendah.

“Justeru, ia tidak akan menyelesaikan masalah pengangguran yang masih tinggi,” katanya.

Menurutnya, dalam Belanjawan 2022 ini, fokus harus diberikan untuk mempertingkatkan lagi dan menyediakan peluang pekerjaan, khususnya melibatkan pekerja berkemahiran menengah dan tinggi.

“Sebelum ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kata banyak FDI (pelaburan langsung asing) sudah diluluskan.

“Jika pelabur asing mahu membina kilang di sini, kita tidak mahu kilang yang memerlukan pekerja berkemahiran rendah sebaliknya berautomasi dan kepakaran tinggi membabitkan rakyat di negara ini,” katanya.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia itu juga memberitahu, menjadi satu kerugian apabila pelabur membuka kilang di negara ini tetapi terpaksa mengimport pekerja asing.

Sedangkan katanya, kerajaan boleh mengenakan syarat agar kilang yang dibuka mengutamakan rakyat Malaysia, khususnya bagi pekerja berkemahiran tinggi dan menengah supaya rakyat kita mendapat pekerjaan yang memberi gaji tinggi.

“Ini kerana pada tahun lepas, purata gaji rakyat Malaysia yang berstatus operator turun sebanyak 9 peratus (status operator).

“Kalau pekerja peringkat menengah, ia turun sebanyak 15.6 peratus. Jadi, kita tak mahu peluang pekerjaan untuk tahun depan kalau dapat kerja, gaji yang sama. Kalau gaji sama, maksudnya ia kekal rendah,” katanya.

Mengulas mengenai pengangguran, beliau menjelaskan, berdasarkan kepada statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia untuk bulan Ogos 2021, berlaku penurunan dari segi jumlah pengangguran kepada 748, 800 orang dan penurunan kadar kepada 4.6 peratus namun jumlah itu masih dianggap tinggi.

Berbanding pada tahun 2019 katanya, jumlah penganggur hanya 500,000 orang sahaja dan graduan lepasan universiti yang masih lagi tidak mempunyai pekerjaan kira-kira 200,000 orang.

“Satu lagi saya lihat, peningkatan tenaga kerja tidak cukup tinggi untuk menampung atau untuk mengambil balik mereka yang menganggur.

“Oleh itu, dalam Belanjawan 2022 ini kerajaan perlu mengambil agenda penting iaitu dengan penambahbaikan dalam Belanjawan 2021 kerana semasa itu kerajaan memperkenalkan Program Penjana Kerjaya yang menyediakan 500,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Sektor ekonomi

Tambahnya, antara projek sepatutnya dilaksanakan ialah MySTEP yang menyediakan 50,000 pekerja kontrak terutamanya kepada golongan belia.

“Tapi, apa yang saya lihat kita langsung tidak mendapat maklumat adakah program ini berjaya mencapai matlamat tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Kewangan Pengguna yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berpandangan, kerajaan perlu memperkukuh dan memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan peluang-peluang dalam sektor ekonomi digital atau ekonomi gig.

Dalam soal ini jelasnya, kebergantungan kepada kerajaan perlu dikurangkan, tetapi kerajaan perlu menyediakan platform lain.

Ia termasuklah inisiatif-inisiatif ekonomi gig dalam Belanjawan 2022, dengan memberikan peruntukan lebih besar supaya matlamat jangka panjang My Digital yang disasarkan pada 2030 dapat dicapai.

“Saya lihat, jika ia tidak terus diperkasa dan diberikan perhatian serius, matlamat 2030 itu nanti sukar untuk tercapai. Kita sudah nampak, dalam tempoh dua tahun ini, dari segi penggunaan teknologi komunikasi maklumat, orang ramai sudah semakin lebih cakna dan dilatih.“Sekarang, ramai yang lebih suka bekerja separuh masa malah individu bekerja sendiri, ada yang lebih suka bekerja dari rumah kerana sudah terbiasa, menjadi norma baharu.

“Saya rasa, dari segi kursus, inisiatif-inisiatif perlu terus diberikan termasuklah usahawan baharu, kita perlu bagi bantuan kerana kita nak pastikan bila wujud peluang pekerjaan baharu, ia dapat menjana peluang-peluang pekerjaan lain,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!