X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Lindungi, jaga kesihatan mental kanak-kanak: UNICEF

Kegagalan menangani keperluan kesihatan mental kanak-kanak, remaja dan penjaga mereka secara berkesan akan menjejaskan pelaburan dalam agenda pemulihan Covid-19. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan, sektor awam dan swasta digesa untuk memberikan komitmen, berkomunikasi serta mengambil tindakan untuk mempromosi kesihatan mental bagi semua kanak-kanak sambil melindungi golongan rentan yang memerlukan bantuan dan penjagaan.

Menurut Laporan State of the World’s Children 2021 oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk ‘On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children’s Mental Health,’ ini termasuk pelaburan segera dalam kesihatan mental kanak-kanak dan remaja di seluruh sektor bagi menyokong pendekatan seluruh masyarakat untuk mencegah, mempromosi serta menjaga.

Laporan itu turut mencadangkan integrasi dan peningkatan berasaskan bukti di seluruh sektor kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial termasuk program keibubapaan yang mempromosi serta memupuk kesihatan mental ibu bapa dan penjaga yang responsif selain memastikan sekolah menyokong kesihatan mental melalui perkhidmatan berkualiti dan hubungan positif juga diperlukan.

Turut diperlukan, berterus terang mengenai keadaan penyakit mental dengan menangani stigma dan mempromosi pemahaman yang lebih baik berkaitan kesihatan mental serta mengambil serius pengalaman kanak-kanak dan golongan remaja.

Laporan itu menyebut langkah memastikan perkhidmatan dan sokongan disesuaikan dengan keperluan golongan muda berhubung perspektif mereka membentuk dasar serta program.

Sementara itu, wakil UNICEF bagi Malaysia dan Perwakilan Khas bagi Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustapha Sarwar berkata, ramai kanak-kanak di Malaysia dibebani oleh isu kesihatan mental bahkan sebelum pandemik Covid-19 lagi dan terlalu sedikit pelaburan dibuat bagi menangani keperluan yang kritikal ini.

“Sekolah telah ditutup selama lebih 40 minggu di Malaysia. Kanak-Kanak telah menghabiskan masa jauh daripada kawan-kawan, kelas dan taman permainan, yang merupakan elemen utama zaman kanak-kanak. Kesannya adalah ketara dan itu hanya sedikit," menurutnya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata kegagalan menangani keperluan kesihatan mental kanak-kanak, remaja dan penjaga mereka secara berkesan akan menjejaskan pelaburan dalam agenda pemulihan Covid-19.

Rashed berkata, transformasi pendekatan UNICEF terhadap kesihatan mental adalah mendesak bagi Malaysia sebagai sebahagian dari Asia Timur dan rantau Pasifik.

“Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan fizikal dan kita perlu bertindak sekarang untuk melindungi serta menjaga keperluan mental kanak-kanak," katanya.

Berdasarkan anggaran global terkini, lebih seorang daripada setiap tujuh belia berusia lingkungan 10 hingga 19 tahun hidup dengan ganggua mental yang didiagnosis di seluruh dunia manakala hampir 46,000 remaja mati akibat bunuh diri setiap tahun yang merupakan antara lima punca utama kematian bagi kumpulan umur mereka. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!