X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Suntikan dos penggalak Covid-19 tingkat tindak balas sistem imun

Kajian menunjukkan dos ketiga akan menjadikan perlindungan vaksin lebih lama dan mempunyai daya tahan berterusan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 akan membantu merangsangkan tindak balas sistem imun yang menurun dan meningkatkan peneutralan antibodi untuk melawan varian yang mudah berjangkit.

Pharmaniaga Bhd dalam kenyataan pada Rabu berkata, berdasarkan kajian berkaitan dos penggalak yang dijalankan ke atas populasi dewasa dan warga emas, suntikan ketiga tersebut amat disyorkan.

Syarikat Farmaseutikal itu berkata, perkara itu diputuskan oleh pakar-pakar yang menghadiri seminar secara maya anjuran syarikat tersebut hari ini yang bertajuk “Covid-19 Booster Shots and Vaccination for Children: Moving forward with experiences from China, Chile, and Indonesia.

(Suntikan Dos Penggalak Covid-19 dan Vaksinasi untuk Kanak-Kanak: Bergerak Maju melalui Pengalaman daripada China, Chile dan Indonesia).

“Barisan panel seminar ini mengakui bahawa mengambil dos penggalak akan meningkatkan antibodi yang mulai menurun secara ketara dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua, menurut kajian tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Salah seorang ahli panel Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negeri Sinovac Co Ltd, Weining Meng berkata, suntikan penggalak yang diberikan dalam selang enam ke 12 bulan selepas dos kedua, akan merangsang tindak balas imun menyebabkan rata-rata titer geometrik (GMT) meningkat menjadi anggaran sekitar 140.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan di Akademi Sains Cina, Universiti Peking dan Sinovac Biotech, data yang diperoleh menunjukkan dos ketiga akan menjadikan perlindungan vaksin lebih lama dan mempunyai daya tahan berterusan.

Meng berkata tempoh pemberian dos penggalak haruslah mengambil kira kewujudan jangkitan Covid-19 di dalam negara dan kes-kes Covid-19 yang berjaya sembuh selepas vaksinasi utama.

“Nilai GMT enam bulan selepas dos ketiga lebih tinggi daripada nilai GMT tertinggi pada dos kedua. Kajian juga menunjukkan antibodi yang lebih berdaya tahan enam bulan selepas dos penggalak, berbanding dos kedua, yang menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama daripada Covid-19 dan varian baharu,” tambahnya.

Sehingga kini, Sinovac Biotech Co telah membekalkan lebih 2 bilion dos CoronaVac kepada seluruh dunia dan 810 juta dos diberikan kepada negara-negara di luar China setakat 12 Oktober lalu manakala kira-kira 1.2 bilion dos digunakan di republik itu.

Sementara itu, Profesor dan Pengarah Imunologi dan Imunoterapi Institut Millennium dari Chili, Dr Alexis M.Kalergis berkata, kebanyakan vaksin yang diterima oleh rakyat negara beliau adalah daripada Sinovac.

“Di Chili, penguat kuasa telah membenarkan penggunaan vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak berumur dari enam tahun hingga yang lebih tua dan kempen vaksin ini bergerak lancar setakat ini, susulan profil keselamatan yang lebih baik dalam populasi pediatrik,” katanya sambil menambah vaksin Sinovac telah terbukti selamat dan berkesan bagi populasi rakyat Chili.

Beliau turut menyokong kenyataan bahawa suntikan dos penggalak adalah selamat dan meningkatkan antibodi peneutralan dalam kalangan orang dewasa yang sihat.

“Keberkesanan dos penggalak vaksin Sinovac dijangkakan sangat berkesan. Pakar-pakar kesihatan Chili lebih selesa menggunakan vaksin Sinovac kerana ia adalah daripada pengeluar vaksin tidak aktif yang telah mengeluarkan vaksin yang digunakan secara meluas sebelum ini seperti vaksin polio.

“Tidak dinafikan vaksin lain juga efektif, tetapi sebab utama kita memutuskan untuk bekerja dengan pengeluar vaksin tidak aktif -- Sinovac, ialah kerana data menunjukkan bahawa ia lebih menyeluruh dari segi tindak balas imun,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!