Kekerapan penerbangan ke Sarawak ditambah

Kekerapan penerbangan ke Sarawak telah ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan. - Foto Bernama
Kekerapan penerbangan ke Sarawak telah ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kekerapan penerbangan ke Sarawak telah ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan, kata Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, setakat ini, jadual penerbangan dan kekerapan penerbangan bagi lapangan terbang utama di Sarawak yang telah diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) adalah sebanyak 76 penerbangan seminggu.

Daripada jumlah itu, Kuching sebanyak 42 penerbangan seminggu, Miri (19 penerbangan), Bintulu (empat penerbangan seminggu), Sibu (enam penerbangan seminggu), Limbang dan Lawas (dua penerbangan seminggu) dan Mulu (tiga penerbangan seminggu).

“Selain itu, sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak sedang berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkepentingan lain mengenai proses baharu kemasukan ke Sarawak.

“Ini bagi mengukuhkan lagi proses berkenaan melalui penggunaan aplikasi Teknologi Maklumat (IT) secara menyeluruh dan lebih mesra pengguna, serta dalam masa sama meningkatkan kecekapan pihak berkuasa untuk memproses data dan memantau kemasukan penumpang, selain mengelak kesesakan dan memendekkan masa proses kemasukan di Lapangan Terbang Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Kim Shin, perbincangan antara pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan jadual baharu tersebut berjalan lancar.

“Adalah diharapkan ini akan melancarkan proses pergerakan penumpang dan pelancong ke Sarawak kerana kita telah pun berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

“Kami percaya dengan peningkatan kekerapan jadual penerbangan ini, syarikat-syarikat penerbangan akan menawarkan tambang yang berpatutan kepada orang awam dan pelawat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: