Bursa Malaysia ditutup tinggi lepasi paras 1,600

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia melepasi paras psikologi 1,600 pada Rabu mencatatkan kenaikan lima peratus semasa tempoh kenaikannya selama tujuh hari.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat satu peratus atau 16.47 mata kepada 1,600.38 daripada 1,583.91 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 1.04 mata kepada 1,582.87.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 577 berbanding 460, manakala 413 kaunter tidak berubah, 829 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan, bagaimanapun, turun kepada 4.49 bilion unit bernilai RM3.34 bilion daripada 5.19 bilion unit bernilai RM3.55 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, belian asing terus menyokong aliran meningkat apabila sentimen kekal positif di tengah-tengah pembukaan sempadan dan peningkatan aktiviti ekonomi.

Peningkatan indeks petunjuk pasaran itu disokong terutamanya daripada saham wajaran tinggi perbankan.

“Walapun pembetulan telah dijangkakan, kami percaya aktiviti pengambilan untung yang berselang seli akan meredakan impak tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjangka indeks itu berlegar dalam jajaran 1,595-1,605 bagi tempoh berbaki minggu ini. Dari aspek teknikal, kami melihat paras ketahanan segera pada 1,620 manakala paras sokongan segera pada 1,550,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM8.29, MISC naik 21 sen kepada RM7.11, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.19, Hartalega melonjak 10 sen kepada RM6.07, RHB Bank menambah 17 sen kepada RM5.72 dan Sime Darby meningkat sembilan sen kepada RM2.37.

Sementara itu, Axiata dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM4.10 dan RM8.75, manakala Top Glove susut empat sen kepadaRM2.79 dan Petronas Gas berkurangan lapan sen kepada RM17.

Dalam kalangan kaunter cergas, Serba Dinamik turun setengah sen kepada 41 sen, Sarawak Consolidated susut satu sen kepada 49.5 sen, MYEG meningkat lima sen kepada RM1.07 dan Brahims naik satu sen kepada 52.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 89.26 mata kepada 11,741.91, Indeks FBMT 100 melonjak 95.38 mata kepada 11,388.49, Indeks FBM Emas Syariah naik 82.54 mata kepada 12,830.85, FBM 70 menambah 42.60 mata kepada 15,290.11 dan FBM ACE meraih 8.17 mata kepada 7,198.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 174.70 mata kepada 15,717.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.66 mata kepada 211.67 manakala Indeks Perladangan meraih 93.96 mata kepada 7,098.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 3.30 bilion saham bernilai RM3.03 bilion berbanding 3.59 bilion saham bernilai RM3.14 bilion yang dicatatkan pada Selasa.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 238.27 juta unit bernilai RM17.53 juta berbanding 406.10 juta unit bernilai RM50.59 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya susut kepada 938.35 juta saham bernilai RM284.93 juta daripada 1.19 bilion saham bernilai RM355.41 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 664.55 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.03 bilion), pembinaan (225.19 juta), teknologi (299.73 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.37 juta), hartanah (224 juta), perladangan (57.88 juta), REIT (8.69 juta), dana/ditutup (53,200), tenaga (468.23 juta), penjagaan kesihatan (65.24 juta), telekomunikasi dan media (31.76 juta), pengangkutan dan logistik (133.90 juta) serta utiliti (21.21 juta). - Bernama