Proses naik pangkat perlu pengesahan KPN, TKPN, Pengarah PDRM

Acryl Sani Abdullah Sani
Acryl Sani Abdullah Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses urusan kenaikan pangkat, penempatan dan pertukaran dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah perlu melalui prosedur dan sumber rasmi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses itu juga perlu melalui temuduga dan saringan oleh pegawai peringkat tertinggi dalam PDRM, bukan dibuat secara membuta-tuli.

"Setiap proses berkaitan kenaikan pangkat adalah merangkumi cadangan daripada Ketua Polis Negara (KPN), Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Negeri," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Acryl Sani berkata, proses kenaikan pangkat itu bukan satu perkara mudah yang boleh dibeli atau dibayar sewenang-wenangnya kerana ia melalui tapisan yang amat ketat serta melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan.

"Penganugerahan pangkat atas cadangan pihak atasan PDRM adalah berdasarkan komitmen tinggi dan dedikasi yang ditunjukkan setiap pegawai dan anggota dalam melaksanakan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya

Acryl Sani berkata sedemikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan seorang wanita yang melaporkan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) membuat ugutan bunuh selepas meminta mengembalikan wang yang dipinjamkan sebanyak RM100,000 kononnya bagi tujuan membeli pangkat Superintendan.

"Siasatan terhadap kes itu sedang dijalankan sebaik laporan dibuat, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melakukan dua siasatan.

"Ia adalah siasatan dari sudut tatatertib selari dengan siasatan dari sudut jenayah iaitu melakukan ugutan bunuh dan siasatan terhadap isu bayaran RM100,000 yang dikatakan untuk tujuan kenaikan pangkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, secara rasmi kes pembelian pangkat ini adalah pertama kali dilaporkan dalam pasukan PDRM, meskipun sebelum ini pelbagai kenyataan dan khabar angin disebarkan namun tiada sebarang laporan polis pernah dibuat.