KHM bangga Speedy Tigers huni tangga ke-10 dunia

Arul (kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika aksi menentang Wales pada Selasa. - Foto FB MHC
Arul (kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika aksi menentang Wales pada Selasa. - Foto FB MHC
A
A
A

SETELAH berusaha selama 18 tahun, skuad hoki lelaki kebangsaan akhirnya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia setelah menampilkan aksi memberangsangkan pada Siri Jelajah United Kingdom 2021.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berdasarkan kemas kini ranking dunia di laman web Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Rabu.

"Pagi tadi setelah kita kalahkan pasukan Wales 3-1, maka setakat hari ini ranking Malaysia telah naik ke tangga kesepuluh dunia. Ini sesuatu amat menggembirakan kami di Malaysia khususnya KHM.

"Ini kerana kali akhir kita menduduki ranking ke-10 dunia adalah pada penghujung 2003,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.

Kemenangan ke atas Wales itu adalah perlawanan ujian keempat dan terakhir siri jelajah tersebut selepas Speedy Tigers turut melakar kemenangan 4-3 ke atas lawan sama, Sabtu lepas.

Berdasarkan ranking terkini, Belgium berada di kedudukan pertama diikuti Australia, India, Belanda, Jerman, England, Argentina, New Zealand, Sepanyol dan Malaysia melengkapkan 10 pasukan terbaik di dunia.

Subahan turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia menamatkan 2021 dalam kelompok itu dan akan mula mencabar kedudukan lebih tinggi tahun hadapan menerusi siri perlawanan ujian bagi mengumpul seberapa banyak mata.

Beliau berkata, pencapaian dilakar anak buah Arul Selvaraj dalam memperbaiki kedudukan ranking negara layak mendapat penghormatan selain membuktikan skuad kebangsaan mempamerkan peningkatan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sedang mara untuk pencapaian yang lebih tinggi dan saya cukup yakin setelah mereka pulang ke tanah air, mereka akan siapkan diri sebelum berlepas ke Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 pada Disember. Di situ pun kami berharap pasukan negara akan melakukan yang terbaik dan dapat sentiasa mengutip mata,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Subahan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM meluluskan peruntukan RM10,000 kepada setiap ahli gabungan badan induk hoki itu termasuk Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia dan akan disalurkan pada minggu ini.

Beliau berkata sumbangan itu menunjukkan komitmen KHM kepada ahli gabungannya dalam membantu mereka untuk mengadakan aktiviti sukan hoki di negeri masing-masing.

"Kita alu-alukan persatuan hoki negeri mengadakan aktiviti hoki tak kira lah sama ada hoki lima sebelah secara karnival atau pun hoki dalam dewan atau mereka adakan liga. Insya-ALLAH, KHM akan membantu dari segi peruntukan seperti yang dijanjikan,” katanya.