X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Imigresen gempur premis tawar aktiviti pelacuran

Antara wanita warga asing yang ditahan menerusi serbuan yang dijalankan.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu dua premis yang dipercayai menyajikan pelacur warga asing di kawasan Nilai, Negeri Sembilan dan Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi menerusi Siri Ops Gegar ini dijalankan bagi menumpaskan kegiatan pelacuran yang aktif dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, seramai 16 individu yang terdiri daripada 14 warga asing dan dua warga tempatan berjaya ditahan.

"Operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Nilai yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing.

"Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan menawarkan pakej perkhidmatan seks secara 'flat rate' RM180 bagi satu langganan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelanggan hanya perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui applikasi Wechat' dan 'Telegram.

"Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi berjaya menahan lima wanita warga asing membabitkan tiga wanita warga Thailand dan dua wanita warga Indonesia yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran. Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan pelanggan semasa diserbu.

"Semakan awal mendapati segelintir wanita warga asing yang ditahan itu turut mempunyai kes dadah dan masih dalam proses perbicaraan mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, operasi kedua dijalankan di sebuah hotel tiga bintang di Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pergerakan serbuan agak mencabar kerana premis terbabit dikawal selia melalui CCTV dan Tonto' yang bertindak pantas menghentikan aktiviti serta menutup premis sekiranya mengesan sebarang pergerakan yang mencurigai daripada pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan di premis ini, seramai lapan wanita warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan dua lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai penjaga wanita-wanita ini berjaya ditahan.

"Lapan wanita warga asing ini terdiri daripada empat warga Indonesia, dua warga Thailand dan dua warga Vietnam," katanya.

Tambahnya, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, sindiket pelacuran ini menggunakan nama warga tempatan untuk urusan pendaftaran bilik hotel dan hanya menerima pelanggan yang telah membuat tempahan melalui 'Wechat' dan 'Telegram sahaja.

"Perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga dari RM180 bagi tempoh masa 45 minit dan RM1,800 bagi langganan selama 24 jam atau sehari.

"Setiap pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi 'Wechat' dan 'Telegram' manakala bayaran perlu dibuat secara dalam talian dan sebelum pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah di hotel tersebut," katanya.

Jelasnya, pelbagai kesalahan dikesan menerusi dua serbuan yang dijalankan ini antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!