X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Bajet 2022 tumpu perkasa PMKS, agenda wanita: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi penekanan utama untuk mengembangkan pertumbuhan Malaysia dalam Bajet 2022 yang akan datang ketika negara bergerak ke arah pemulihan dan peralihan daripada pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pendigitalan dan agenda wanita akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2022 yang bakal melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pemulihan kita terjamin dan kita mempunyai laluan pertumbuhan yang mampan.

“Tujuannya untuk meminimumkan parut ekonomi dan membantu mereka yang terkesan, yang mana PMKS dan wanita sudah pastinya antara kumpulan paling terjejas teruk di Malaysia disebabkan oleh pandemik itu,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Generasi Digital ASEAN yang diadakan secara maya pada Rabu.

Kerajaan setakat ini memperuntukkan bantuan kewangan bernilai RM6.1 bilion menerusi pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membantu lebih sejuta PMKS sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.

Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan terus komited untuk membentuk semula sistem penjagaan kesihatan dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang bagi memastikan akses dan liputan kepada seluruh penduduk, sambil menambah perbelanjaan ke atas pelaburan penjagaan kesihatan akan ditingkatkan dengan perkongsian penjagaan kesihatan awam yang ditambah baik.

Beliau berkata, pandemik telah memberi peluang kepada kerajaan di seluruh dunia untuk mengkaji semula dasar penjagaan kesihatan mereka.

"Di ASEAN, purata perbelanjaan ke atas penjagaan kesihatan hanya kira-kira 4.0 peratus yang mana berada di bawah purata unjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) antara 10 dan 12 peratus," katanya.

“Covid-19 telah mendedahkan ketidakupayaan ASEAN untuk menyelaraskan tindak balas efektif, jadi kita perlu melabur dalam pusat penyakit serantau, penyelidikan dan pembangunan vaksin dan memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai penyakit berjangkit, antara lainnya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata jumlah perbelanjaan kerajaaan bagi kesihatan meningkat sepanjang dekad lepas, hampir berganda daripada RM33 bilion atau 4.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2010 kepada kira-kira RM64 bilion atau lebih 4.3 peratus daripada KDNK pada 2019.

Pada 2021 sahaja, peruntukan bagi sektor ini meningkat kepada 5.0 peratus daripada KDNK, katanya.

Bajet 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!