X

Kindly register in order to view this article
!

KPYPJ buka kaunter informasi

Petugas KPYPJ Info Desk di tingkat 2 Plaza Angsana. Gambar kecil: Nasri
A
A

JOHOR BAHRU - Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) membuka kaunter informasi yang pertama di pusat membeli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini, bermula 3 Mac lalu.

Langkah itu bagi memudahkan masyarakat khususnya lepasan sekolah mendapat maklumat mengenai peluang pendidikan di kolej-kolej KPYPJ.

Kaunter informasi KPYPJ Info Desk yang diilhamkan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Nasri Md Ali itu terletak di Lot K2.15 aras dua pusat membeli-belah tersebut dan bakal dirasmikan pada 9 Mac ini.

Pembukaan kaunter informasi itu merupakan langkah proaktif KPYPJ mendekati secara terus masyarakat bagi memberi penerangan mengenai pelbagai peluang pendidikan tinggi di peringkat diploma dan sijil yang kini ditawarkan di dua kolej utama iaitu Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ).

Nasri berkata, antara khidmat yang ditawarkan di kaunter itu termasuklah konsultasi program pengajian yang bersesuaian dengan minat dan kelulusan seseorang lepasan SPM atau sekolah.

Menurutnya, selain itu, maklumat melibatkan tarikh kemasukan, yuran pendaftaran dan pengajian, pinjaman serta kemudahan asrama yang disediakan.

"Pembukaan kaunter ini juga merupakan sebahagian daripada proses peningkatan imej korporat KPYPJ di kaca mata masyarakat selain menjadi wadah promosi berterusan dalam menarik lebih ramai anak bangsa melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Saya juga ingin mengajak lepasan SPM 2018 yang bakal mengetahui keputusan SPM mereka pada 21 Mac ini supaya datang ke kaunter informasi kami untuk mengetahui peluang-peluang pendidikan yang boleh mereka ikuti di kolej-kolej KPYPJ," katanya.

Nasri berkata, selain konsultasi mengenai program pengajian, kaunter itu juga menempatkan petugas bahagian kredit KPYPJ bagi memudahkan bekas pelajar tampil menjelaskan yuran pengajian yang masih belum dilunaskan.

"Seperkara menarik ialah kami menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada lepasan KPYPJ yang membuat pembayaran balik yuran pengajian ini sepanjang tempoh dua minggu pelancaran kaunter ini dibuat pada 9 Mac ini," katanya.

Beliau berkata, diskaun 40 peratus itu adalah sebagai bonus kepada diskaun 20 peratus yang diberikan sebelum ini bagi menggalakkan lebih ramai lepasan KPYPJ tampil untuk menjelaskan bayaran yuran pengajian yang tertunggak.

"Ayuh jangan lepaskan peluang menikmati kadar diskaun istimewa ini dengan berkunjung ke kaunter informasi sepanjang minggu promosi kaunter ini berlangsung," katanya.

Bersempena dengan majlis pelancaran kaunter informasi, pelbagai acara menarik diadakan antaranya pameran motosikal monster berenjin kereta Nissan Skyline RB20 ciptaan bekas pelajar Sijil Juruteknik Motosikal KKJ Muar, Amirul Azwan Abdul Rasid bersama bapanya, Abdul Rasid Ismail akan dipamerkan buat pertama kalinya di Johor Bahru.

Selain itu, turut dipamerkan ialah dua motosikal ciptaan Amirul Azwan yang pernah mendapat beberapa anugerah pada Pameran Art of Speed Malaysia sebelum ini.

Majlis pelancaran juga akan dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen ciptaan pelajar program pembuat pakaian wanita dan pentadbiran fesyen dan pakaian KKJ Batu Pahat yang merupakan sekolah seni reka fesyen bagi KPYPJ.

Pelajar Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) KYPJ pula akan membuat demonstrasi menghias kek dan ukiran buah-buahan manakala kaunter KKJ pula menampilkan baju-baju rekaan pelajar kolej berkenaan.

Kemuncak kepada majlis pelancaran itu ialah persembahan dari juara Maharaja Lawak Mega 2018, Shahrol Shiro dan rakan-rakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus