Bekas MB Johor diserang strok ringan

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini semalam selepas diserang strok ringan.

Anaknya, Nornekman berkata, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dimasukkan ke hospital itu kira-kira 10 malam.

"Alhamdulillah, keadaan ayah saya semakin stabil. Beliau sudah boleh bercakap dan menjawab panggilan telefon sebentar tadi.

"Ayah saya sedang dalam proses untuk mendapatkan rawatan hospital di Kuala Lumpur. Saya dengan ini memohon doa daripada tuan dan puan agar kesihatan ayah saya pulih seperti sediakala," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu negeri Senator Md Nasir Hashim berkata, perkara itu memeranjatkan seluruh ahli Bersatu di Johor.

"Berita ini sangat mengejutkan dan saya dimaklumkan perkara ini ketika berada di Dewan Negara," katanya.

ADUN Permas Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, beliau akan ke ibu negara esok bagi menziarahi Osman.

"Saya dimaklumkan beliau berada dalam keadaan yang stabil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Osman, 70, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018.

Beliau merupakan menteri besar bagi tempoh 12 Mei 2018 hingga 8 April 2019. - Bernama