500 penuntut IPTA terima sumbangan

Wan Roslan (tiga dari kiri) melakukan simbolik penyerahan kit tanaman kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu.
Wan Roslan (tiga dari kiri) melakukan simbolik penyerahan kit tanaman kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 500 penuntut dan bakal penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerima sumbangan wang tunai RM100 setiap seorang yang disalurkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19.

Selain itu, penuntut-penuntut yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik turut menerima sumbangan yang disalurkan menerusi peruntukan RM500,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam kos persediaan anak-anak melanjutkan pelajaran ke universiti dan kos menampung kehidupan di universiti.

Katanya, nilai sumbangan itu bertambah berbanding tempoh sebelum pandemik berikutan prihatin dengan keadaan rakyat yang terjejas pendapatan ketika ini.

“Sekiranya dimurahkan rezeki, sumbangan sebegini akan diteruskan dengan lebih kerap pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri sebelum itu menyempurnakan Majlis Penyampaian Kit Tanaman pada Program Dapur Hijau DUN Pengkalan Kubor kepada lima penerima di Pejabat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, di sini pada Rabu.

Katanya, sehingga kini seramai 50 peserta terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah di kawasan DUN Pengkalan Kubor menyertai Program Dapur Hijau yang dicetuskan kerajaan Kelantan di bawah portfolio Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi, Teknologi Hijau, Industri Asas Tani dan Alam Sekitar dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan.

“Program berkonsepkan penanaman organik di kawasan kediaman ini membantu meringankan bebanan perbelanjaan harian dan menjana pendapatan sampingan isi rumah.

Artikel Berkaitan:

“Usaha dilakukan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan kos sara hidup diri serta keluarga selain meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya.