X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

'Hospitel family healing' cepatkan proses pemulihan pesakit Covid-19

Thailand mewujudkan 'hospitel berkonsepkan “family healing” khas untuk pesakit Covid-19 untuk memastikan mereka menerima rawatan yang selesa di sisi keluarga dan mempercepatkan proses pemulihan.Gambar hiasan
A
A

PATTANI - Thailand mewujudkan 'hospitel berkonsepkan “family healing” khas untuk pesakit Covid-19 untuk memastikan mereka menerima rawatan yang selesa di sisi keluarga dan mempercepatkan proses pemulihan.

Lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini di empat wilayah selatan iaitu, Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla menyebabkan kekurangan katil di hospital.

Untuk menampung jumlah pesakit yang ramai khususnya dalam kalangan mereka daripada satu keluarga, Hospital Siroros di Pattani dengan kerjasama Hotel Park Intown dan Hotel Rainbow Mansion mewujudkan ‘hospitel’ iaitu menjadikan hotel sebagai hospital sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Hospital Siroros, Dr Abdul Qadir Yusuf berkata, “hospitel” yang berkonsepkan ‘family care’ dan ‘family healing’ ini mendapat sambutan positif apabila pesakit dari satu keluarga ditempatkan di bilik khas dan mereka dapat memantau dan menjaga antara satu sama lain.

“Bilik khas untuk satu keluarga ini memudahkan pemantauan dan pada masa yang sama ia mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pesakit untuk menerima rawatan.

“Selain itu, apabila pesakit Covid-19 bersama ahli keluarga masing-masing, ia menjadi penguat semangat untuk melawan virus itu. Konsep family care dan family healing ini dapat mempercepatkan proses pemulihan pesakit,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, pihak hospital juga membenarkan dua ahli keluarga (yang positif Covid-19) untuk menjaga pesakit kategori 4 dan 5.

“Hospitel” berkonsepkan family care dan family healing buka pintu untuk pesakit Covid-19 pada Jun tahun ini dan ia mendapat sambutan positif dalam kalangan pesakit dan keluarga.

Kini, Hospital Siroros dengan kerjasama pihak hotel telah mewujudkan tiga buah “hospitel” iaitu dua di Pattani dan satu lagi di Narathiwat.

Hospital Siroros akan membuka tiga lagi “hospitel” berkonsepkan family healing dalam tempoh terdekat iaitu di Betong, Yala, Songkhla dan Sg Kolok, Narathiwat.

Bagi pesakit Covid-19, Hama Chekteh, 62, bersama isteri dan tiga anak perempuannya menerima rawatan di Hospital Siroros di Yala.

Hama yang terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan melahirkan perasaan syukur apabila mendapat rawatan bersama ahli keluarga kerana ia telah mempercepatkan proses pemulihannya.

“Ketika menerima rawatan di ‘hospitel’ khas, anak-anak sentiasa memeriksa suhu badan dan tahap oksigen. Mereka terus memberi kata-kata semangat dan perasaan gelisah dan risau terus hilang,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas, Thailand mencatatkan 10,064 kes baharu Covid-19 dan 82 kematian.

Secara keseluruhan jumlah kes Covid-19 di Thailand adalah sebanyak 1,740,428 dan korban seramai 17,917. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!