KKM rancang kajian pemberian dos penggalak vaksin berlainan

KKM merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan (heterologous vaccination).Gambar hiasan. - Foto 123rf
KKM merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan (heterologous vaccination).Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan (heterologous vaccination).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kajian tersebut akan dilaksanakan di Sarawak bermula November depan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).

Beliau turut memaklumkan, pemberian dos tambahan pula akan diberi kepada individu yang mempunyai imuniti yang rendah (immunocompromised) seperti pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.

"Pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka.

"Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama (homologous) atau berlainan dengan dos terakhir.

"Pemberian dos tambahan ini akan diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan," katanya.

Khairy berkata, KKM memberi jaminan bahawa bekalan vaksin di Malaysia mencukupi bagi perlaksanaan pemberian dos tambahan dan dos penggalak vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Setiap individu yang layak digalakkan mengambil dos tambahan atau dos penggalak untuk perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19," katanya.