Lelaki samun guna Toyota Vellfire diberkas

Antara barangan dan kenderaaan yang dirampas bagi membantu siasatan.
Antara barangan dan kenderaaan yang dirampas bagi membantu siasatan.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire di sekitar Selayang di sini pada 6 Oktober dan 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek ditahan di Kajang pada jam 12.05 tengah malam Sabtu.

"Modus operandi suspek ialah melakukan samun secara bersendirian dengan bersenjatakan sebilah pisau dan sebatang rotan terhadap mangsa di tepi jalan serta kedai atau hotel sebelum melarikan diri dengan menaiki Toyota Vellfire," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Zainal Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian samun bersiri yang berlaku di tiga lokasi berbeza melibatkan kerugian berjumlah RM3,047.

"Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan lima pelbagai kesalahan jenayah dan satu rekod kes dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 392 / 397 kanun keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222," katanya.

Artikel Berkaitan: