Lelaki belum vaksin dikesan naik bas rentas negeri

Terminal Sentral Kuantan
Terminal Sentral Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Cubaan seorang lelaki tanpa sejarah vaksinasi menaiki bas untuk merentas negeri ke Selangor tidak berhasil selepas tindakannya dikesan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam pemeriksaan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini pada Isnin.

Lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu antara penumpang sebuah bas ekspres yang diperiksa kira-kira jam 8 malam sebelum kenderaan tersebut memulakan perjalanan.

Pengarah JPJ Pahang,Kamarul Iskandar Nordin berkata, lelaki tersebut dipercayai membeli tiket perjalanan ke Klang secara dalam talian namun tidak menukar tiket tersebut di kaunter.

Menurutnya, lelaki itu sebaliknya menyusup masuk ke ruang menunggu dan terus menaiki bas dipercayai bagi mengelak tindakannya dikesan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan, lelaki itu didapati tiada sejarah vaksinanasi sebelum dia diarah turun dan membatalkan perjalanan," katanya ketika ditemui pada Program Advokasi JPJ Pahang bersama penunggang perkhidmatan p-hailing di Taman Kerang di sini pada Rabu.

Kamarul Iskandar berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan penumpang di terminal bas di negeri ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bagi individu yang menerima vaksin lengkap bermula Isnin lalu.

Menurutnya, langkah itu bagi mengesan dan menghalang individu yang tidak cukup syarat merentas masuk atau keluar dari negeri ini melalui perkhidmatan bas.

"Pemeriksaan secara rawak akan dilakukan terhadap penumpang yang memulakan perjalanan atau tiba di terminal bas di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kamarul Iskandar berkata, orang ramai diminta segera memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu memandangkan operasi kaunter di semua cawangan JPJ di negeri ini telah dibuka untuk semua urusan seperti biasa kecuali Pejabat JPJ Raub yang ditutup sehingga Jumaat.

"Sikap menunggu saat akhir boleh menimbulkan masalah termasuk kesesakan di kaunter," katanya.