X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Dua kedai emas dikompaun RM50,000 gagal pamer tanda harga

Norena (kiri) memeriksaan kedai emas sama ada diletakkan harga jualan semasa atau sebaliknya.
A
A

MELAKA - Dua pemilik kedai emas bakal berdepan denda sehingga RM50,000 selepas dikenakan kompaun gara-gara gagal mempamerkan tanda harga jualan dalam pemeriksaan mengejut dijalankan pihak berkuasa di sekitar Kampung Jawa di sini, pada Rabu.

Pemeriksaan mengejut itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dalam Operasi Kedai Emas yang dilaksanakan bermula pada Rabu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan itu dilakukan bagi mengesan sebarang unsur penipuan membabitkan peniaga emas susulan trend penurunan harga emas.

"Bermula hari ini kita telah menjalankan Operasi Kedai Emas untuk memastikan peniaga mempamerkan tanda harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang unsur penipuan dalam aktiviti jual-beli dengan pelanggan.

"Selain tanda harga kita turut memeriksa alat penimbang yang digunakan peniaga dan setakat ini dua premis telah dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan harga semasa emas" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turut sama menjalankan pemeriksaan di beberapa buah kedai emas di Kampung Jawa di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, dua kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Kertas siasatan telah dibuka dan jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000.

"Kita akan menjalankan operasi ini selama seminggu dan setakat ini kita telah mengenalpasti terdapat 75 buah kedai emas di seluruh negeri Melaka," katanya.

Justeru, beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian barang kemas secara dalam talian susulan terdapat beberapa laporan diterima membabitkan penipuan barang kemas di negeri lain.

Ujarnya, sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan dikesan membabitkan jualan secara dalam talian atau di premis, pengguna bolehlah menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka menerusi talian 06-2345869 atau melalui Whatsapp di talian 019-2794317.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!