Terima pencen penakat ibu angkat

Othman menyampaikan replika cek faedah pengurusan mayat kepada Darwis di kediaman mereka di Kampung Pisang, Cherok To' Kun Atas, Bukit Mertajam pada Rabu.
Othman menyampaikan replika cek faedah pengurusan mayat kepada Darwis di kediaman mereka di Kampung Pisang, Cherok To' Kun Atas, Bukit Mertajam pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Nasib seorang kanak-kanak yang kehilangan ibu angkatnya akibat Covid-19 pada Ogos lalu terbela apabila menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Walaupun sedih dengan kehilangan ibu tersayang namun Nur Rania Amanda Abdullah, 7, bersyukur kerana masih dapat menumpang kasih dengan bapa angkat, Darwis Farok yang menjaganya sejak kecil.

Nur Rania layak menerima pencen penakat daripada arwah ibunya secara bulanan sehingga mencapai usia 21 tahun malah bapa angkatnya yang bekerja sebagai kerani juga menerima faedah sama seumur hidup.

Selain itu, mereka juga menerima faedah pengurusan mayat daripada Perkeso sebanyak RM2,000.

Darwis ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka arwah isterinya, Noor Zubaida Mat Lazim, 34, yang hanya menjalankan perniagaan dalam talian sejak lima tahun lalu masih layak menerima pencen berkenaan.

Menceritakan semula mengenai kisah pilu menimpa keluarganya, Darwis berkata, pada mulanya dia disahkan positif Covid-19 namun tidak menyangka virus berkenaan akan menjangkiti isterinya.

"Arwah hanya mengalami simptom batuk dan selesema. Kami beranggapan hanya demam biasa.

"Namun selepas menjalani ujian saringan dia disahkan positif dan dikuarantin di Hospital Bukit Mertajam berikutan kadar oksigen menurun namun selepas tiga hari menjalani rawatan, keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum meninggal dunia pada 20 Ogos lalu," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Kampung Pisang, Cherok To' Kun Atas, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mereka menerima kunjungan daripada Perkeso Pulau Pinang yang diketuai pengarahnya, Othman Nordin bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Juara, Baiyed Rifail dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Syuhairah Abdul Rahaman.

Othman ketika ditemui berkata, Skuad Perkeso Prihatin yang mendapat maklumat mengenai kes yang menimpa keluarga berkenaan telah segera membuat pemeriksaan rekod caruman dan mendapati arwah merupakan Orang Berinsuran (OB).

Jelasnya, arwah pernah bekerja di beberapa kilang sebelum ini dan carumannya masih melayakkan beliau untuk diuruskan Pencen Penakat kepada warisnya.

"Anak angkat yang diambil mengikut undang-undang layak menerima faedah dan pencen yang disediakan Perkeso," katanya.