X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Berang tak dapat jumpa anak, lelaki pukul isteri

Seorang suami memukul isterinya kerana berang tidak dapat berjumpa dengan empat anaknya. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A

AMPANG - Tindakan seorang wanita menghalang suaminya daripada berjumpa dengan anak mereka kerana bimbang dijangkiti Covid-19, membawa padah selepas dia dipukul lelaki terbabit di sebuah rumah di Taman Kosas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 4 petang, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa suaminya telah mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bertindak memukulnya menggunakan tangan, kayu dan mengacukan garpu.

"Suspek menjalani kuarantin di rumah, oleh sebab itu wanita berkenaan telah menghantar anak mereka ke rumah keluarganya di Cheras.

"Kejadian percayai berlaku kerana suspek marah tidak dapat berjumpa dengan empat orang anaknya yang berusia lapan bulan hingga tujuh tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun itu juga bertindak menghalau wanita tersebut keluar dari rumah.

"Mangsa yang bekerja di sebuah pusat jagaan itu mengalami kecederaan luka di lengan kiri dan telah mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM)," katanya.

Mohamad Farouk berkata, hasil ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!