Kita akan 'bina semula' KWAN

Program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Rabu. - Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Rabu. - Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan akan 'membina semula' Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang telah digunakan untuk rakyat ketika mendepani Covid-19.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, secara asasnya kerajaan menggunakan wang daripada kumpulan itu untuk tujuan yang betul demi rakyat.

Jelasnya, kerajaan juga telah membentangkan secara telus bahawa penggunaannya untuk pemberian vaksin kepada rakyat.

"KWAN ditubuhkan pada tahun 1988, kira-kira 30 tahun lepas untuk generasi akan datang. Kalau bukan generasi sekarang (guna untuk kepentingan rakyat), jadi generasi mana lagi? Pada masa ditubuhkan, kita berbalah. Menyimpan ini untuk apabila keadaan sukar.

"Saya percaya bahawa pandemik Covid-19 ini salah satu situasi yang amat sukar bagi negara dan global. Yang penting kita gunakannya untuk tujuan yang betul.

"Insya-ALLAH apabila ekonomi kembali pulih, kita akan membina semula KWAN yang kita gunakan untuk rakyat," katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komen sesetengah pihak yang mempersoal kerajaan menggunakan KWAN dalam konteks ekonomi.

Program yang berlangsung kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Artikel Berkaitan:

Pada April, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan RM5 bilion daripada RM19 bilion dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.