Johor tangguh sambutan Maulidur Rasul mulai 19 Oktober

Tosrin
Tosrin
A
A
A

JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri Johor pada Rabu mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini menangguhkan penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul bermula 19 Oktober sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di beberapa mukim di daerah negeri ini.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1443 Hijrah bersamaan tahun 2021 ditangguhkan penganjurannya.

"Namun sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan daerah boleh dilaksanakan dan disiarkan secara dalam talian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan pihak berkuasa yang lain sebagaimana ketetapan program pada 18 Oktober ini.

"Program terbabit diadakan di peringkat negeri dan daerah melibatkan penasihat MAINJ dan kadi daerah bertempat di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru dan masjid daerah bermula jam 6.30 petang. Hanya 50 tetamu jemputan terdiri daripada imam, bilal dan petugas mengikut SOP ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Susulan arahan itu, Tosrin berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah mematuhi arahan penangguhan itu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak setelah mendapat pandangan dan pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM).

Artikel Berkaitan: