X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Bakal terima 6,000 pelajar, UTM sedia Pusat Isolasi dan Kuarantin

Shamsul (kanan) berbual dengan pelajar yang terlibat dengan Minggu Mesra Mahasiswa di UTM Skudai, Johor Bahru pada Rabu.
A
A

JOHOR BAHRU- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah bersedia menerima kemasukan 6,000 pelajar secara fizikal bermula Jumaat ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Shamsul Sahibuddin berkata, proses kemasukan pelajar dilakukan dalam beberapa fasa dengan syarat telah lengkap vaksinasi dan mengutamakan kumpulan pelajar yang berkeperluan.

Katanya, sebuah Pusat Isolasi dan Kuarantin turut disediakan sebagai lokasi menempatkan pelajar yang dikesan positif Covid-19 atau bergejala.

"Ujian air liur RTK secara pandu lalu terhadap setiap pelajar akan dilakukan sebelum mereka dibenarkan memasuki asrama. Pelajar yang dihantar ibu bapa perlu ke padang kawat UTM untuk menjalani ujian saringan tersebut.

“Jika keputusan ujian itu didapati negatif mereka boleh terus ke asrama namun sekiranya positif, mereka perlu ke Pusat Isolasi dan Kuarantin, ” katanya pada sidang akhbar di UTM Skudai, di sini pada Rabu.

Menyentuh mengenai kaedah pembelajaran, Shamsul menjelaskan, ia masih dilakukan secara dalam talian dan hanya sesetengah kursus yang memerlukan akses makmal atau studio dibenarkan secara hibrid dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Dalam masa yang sama, kelonggaran kepada pelajar untuk keluar dari kawasan universiti bermula dari jam 7 pagi sehingga 10 malam turut diberikan.

“Sebahagian besar kafe juga sudah beroperasi dan dibenarkan dine-in mengikut SOP, jadi tidak ada masalah untuk pelajar membeli makanan di sini," katanya.

Sementara itu pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Kejuruteraan Elektrik, Wan Akmal Nazirah Ubaidilah, 21, melahirkan rasa syukur dapat meneruskan pengajian selepas pembukaan kembali institut pengajian tinggi (IPT).

"Capaian internet lebih baik di samping rujukan yang mudah diperoleh antara kemudahan di universiti yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar.

"Pihak universiti juga sudah memberikan garis panduan kepada pematuhan SOP lebih ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik, Muhammad Zakwan Hafiz Zakaria, 21, ujian air liur RTK dilakukan sebelum kembali ke kampus.

Katanya, dia kembali lebih awal kerana terlibat dengan Minggu Mesra Mahasiswa.

“Diharapkan semua pelajar akan mematuhi SOP bagi mengelakkan berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!