MBPP beku cuti 2,342 kakitangan

Yew Tung Seang
Yew Tung Seang
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membekukan cuti rehat 2,342 kakitangannya sebagai persediaan menghadapi kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung pada hujung minggu ini.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, tempoh pembekuan cuti bermula pada 15 hingga 19 Oktober ini membabitkan 77.6 peratus daripada 3,109 jumlah keseluruhan kakitangan.

Menurutnya, jabatan yang terlibat ialah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Landskap dan Jabatan Kejuruteraan.

"Cuti hujung minggu dan cuti umum pada Selasa memberi peluang kepada orang ramai balik kampung dan melancong.

"Sepanjang tempoh ini, semua Ketua Jabatan MBPP dan staf dari jabatan utama dan barisan hadapan tidak dibenarkan memohon cuti rehat.

"Bagi mereka yang telah mendapat kelulusan cuti rehat juga diminta membatalkan cuti bagi memastikan keadaan di bahagian pulau terjaga," katanya pada sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.

Tung Seang memberitahu, sepanjang tempoh cuti panjang itu, MBPP akan memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan bersama dengan polis, terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam.

"Pemantauan di tempat bersasar seperti di Padang Kota Lama turut dilakukan pada waktu petang dan malam kerana menjadi kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tung Seang menambah, selain pemantauan secara fizikal, MBPP juga akan mengoptimumkan penggunaan teknologi iaitu lebih 1,000 kamera litar tertutup (CCTV) dan pembesar suara akan digunapakai dalam kerja-kerja pemantauan SOP.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Landskap dan Jabatan Kejuruteraan MBPP akan memastikan tugas utama MBPP tidak terjejas khususnya dari segi penjagaan kebersihan bandar raya.

"Pulau Pinang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas dengan kemasukan kenderaan yang banyak ke negeri ini. Kuantiti sampah sarap dijangka meningkat.

"Dari segi cuaca pula, mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang dikemaskini pada 30 September lalu, Pulau Pinang dijangka menerima hujan yang banyak pada Oktober iaitu di antara 300 milimeter (mm) hingga 550 mm (paras purata hujan di kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka antara 150mm hingga 450mm).

"MBPP sentiasa bersedia sekiranya berlaku bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat atau pokok tumbang," katanya.